norhayati_nordin@hmetro.com.my
SUAMI isteri dalam satu kerjaya sering dianggap pasangan memahami yang membuat ada pihak sanggup memilih memberi tawaran kerja secara ‘pakej bersama’ kepada mereka.
Begitu jugalah bagi pasangan pelakon Redza Rosli, 32, dan isterinya, Bella Hanna, 28, yang tidak terkecuali melalui situasi sama.
Redza dan Bella yang ditemui baru-baru ini sempena promosi drama Luruhnya Bunga Cinta 2 lakonan mereka, memaklumkan ada menerima tawaran kerja secara ‘pakej’ itu.
“Semestinya ada juga beberapa ‘offer’ (tawaran) diterima untuk kami berlakon bersama (pakej) sebab suami isteri. Tapi, saya ambil keputusan, tidaklah (terima).
“Sebab, saya pun kalau boleh kita nak terus mencuba bekerja dengan orang (pelakon) lain. Bukan tak nak langsung bekerja dengan isteri sendiri, tapi bukan pada masa sekarang.
“Lagi pun, saya juga dah pernah bekerja dengan Bella sebelum ini. Jadi, buat masa sekarang kami berdua mencapai persetujuan masing-masing boleh bekerja dengan sesiapa saja,” katanya.
Ujar Redza, kebenaran diberikan itu adalah untuk mereka berkongsi pengalaman sendiri dengan pelakon lain, termasuk mendapat pengalaman baharu yang berbeza-beza.
“Kami berdua memang tidak kisah apabila tidak berlakon bersama kerana yang penting menghargai rezeki yang datang kepada kita iaitu karya atau jalan cerita baharu.
“Sebagai suami isteri, kami akan berbincang mengenai setiap tawaran lakonan yang datang sama ada watak itu sesuai diambil atau tidak. Penting untuk kami dengar pendapat masing-masing.
“Apatah lagi, orang selalu kata ‘berkat’. Jadi, apa yang saya nak buat itu untuk keberkatan juga yang selain daripada ibu bapa, pendapat isteri juga harus diambil kira,” katanya.
Berbicara mengenai drama Luruhnya Bunga Cinta 2, Redza dan Bella terbabit menyiapkan naskhah adaptasi drama Korea popular, Autumn in My Heart itu pada Disember tahun lalu sebelum mereka bernikah.
Sudah berkenalan kira-kira empat tahun, Redza berkata, dia bersyukur akhirnya dipertemukan jodoh dengan Bella pada 21 Jun lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Cheras, Kuala Lumpur.
“Saya dan isteri, Bella saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Apatah lagi, pembabitan dalam karier seni ini kami faham dengan tuntutan kerja dan ia berlaku di set penggambaran saja.
“Sebagai lelaki sudah berkahwin, saya juga tahu perlu ada batas (pergaulan) yang kena jaga agar tidak melukakan hati isteri. Apapun, Alhamdulillah, saya dan Bella senang berbincang,” katanya.
Selain Redza dan Bella, pelakon lain turut membintangi Luruhnya Bunga Cinta 2 arahan Riza Baharudin itu ialah Tracie Sinidol, Aniq Durar, Auni Yusri, Nabila Razali dan ramai lagi.
Bella tak teman Redza ke lokasi
Usia lima bulan berumah tangga, pastinya ‘kemanisan’ pengantin baharu itu masih dirasai. Malah, difahamkan ada juga pasangan yang sanggup menemani suami atau isteri mereka ke lokasi.
Mengulas perkara itu, Bella Hanna berkata, dia belum pernah lagi menjenguk suaminya di lokasi penggambaran ketika bekerja selama sudah bernikah dengan Redza.
“Kalau ada pasangan lain yang isterinya berada di lokasi menemankan suami, biarlah. Tapi, untuk saya setakat ini belum lagi temankan Redza ketika bekerja. Sebab, saya percaya dia.
“Selain itu, saya juga ada kerja sendiri yang nak dibuat seperti menguruskan perniagaan pakaian yang diusahakan. Kiranya, walaupun belum ada tawaran berlakon, saya punya bisnes,” katanya.
Menurut Bella yang juga seorang pengacara, dia lebih selesa menguruskan aktiviti sendiri berbanding saja-saja pergi ke lokasi untuk memantau kegiatan suaminya yang bekerja mencari rezeki keluarga.
Ditanya pula watak Aleen lakonannya dalam Luruhnya Bunga Cinta 2, Bella berkata, dia masih kekal sebagai antagonis yang terus menagih cinta daripada Nuh Adrian, lakonan Redza.
“Watak Aleen yang saya lakonkan dalam sekuel musim kedua ini sangat mencabar dan lebih ekstrem ‘jahatnya’. Tapi, apa yang berlaku pada Aleen itu disebabkan dia mempunyai masalah mental.
“Jadi, saya harap tonton dulu drama ini dan fahamkan kenapa Aleen ada masalah mental. Jangan ‘judge’ dulu dengan kemarahan sebab perilaku jahat Aleen itu ada kisah di sebaliknya,” katanya.
Menurut Bella, apa yang pasti dia sudah memberikan sebaik mungkin untuk karakter Aleen itu dan berharap penonton akan memberi sambutan yang baik pada drama Luruhnya Bunga Cinta 2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




