
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi (kiri) baru-baru ini bertemu panglima tentera Pakistan, Asim Munir di Islamabad. – Agensi
ISTANBUL- Pakistan menyatakan pada Khamis, ia menjangka bahawa satu persetujuan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bakal dicapai “tidak lama lagi,” tanpa mendedahkan sebarang tempoh masa tertentu, lapor Anadolu Ajanasi (AA) yang memetik media tempatan.
Islamabad akan mengalu-alukan sebarang penyelesaian antara Iran dan AS di mana-mana sahaja ia dicapai, kata jurucakap Kementerian Luar, Tahir Andrabi, menurut laporan akhbar harian tempatan Dawn.
“Sekiranya persetujuan dicapai di Pakistan, ia merupakan satu penghormatan bagi kami,” katanya kepada pemberita di Islamabad.
Bagaimanapun, Andrabi enggan mengesahkan butiran terperinci mengenai potensi pakatan itu di tengah-tengah laporan media AS bahawa Washington dan Tehran kini semakin hampir untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) satu halaman.
Sumber Kerajaan Pakistan sebelum ini memberitahu Anadolu bahawa pihaknya menjangkakan untuk menjadi tuan rumah pusingan kedua rundingan damai antara AS dan Iran yang tertangguh, pada minggu depan bagi menamatkan konflik berkenaan.
Sumber itu menambah bahawa Islamabad menjangkakan AS dan Iran akan mencapai perjanjian “peringkat awal” sebelum lawatan Presiden AS, Donald Trump ke China, yang dijadualkan pada akhir minggu depan.
Pakistan sebelum ini menjadi tuan rumah pusingan pertama rundingan antara Washington dan Teheran dari 11 hingga 12 April, namun gagal menghasilkan persetujuan untuk menamatkan perang.
Rundingan itu disusuli gencatan senjata selama dua minggu yang diperantarakan oleh Pakistan pada 8 April, yang kemudiannya dilanjutkan oleh Trump. – Bernama



