Pantau anak musim panas

nurul_husna@hmetro.com.my

TERPERANGKAP dalam ruang yang tertutup dan terdedah kepada suhu atau haba persekitaran yang tinggi sangat merbahaya kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah serta warga emas berusia 50 tahun ke atas.

Apatah lagi ketika ini cuaca sekitar mencatatkan angka suhu sekitar 37 darjah Celsius dilihat sangat ekstrim untuk golongan itu kerana berisiko tinggi mengalami serangan strok haba.

Sebelum beralih ke fasa itu kebiasaannya kanak-kanak terlebih dahulu menunjukkan gejala berpeluh dan tidak bermaya.

Menurut Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan & Perubatan Am, Dr Muhammad Fikri Fahruddin, gejala itu menunjukkan sistem tubuh bertindak balas dengan impak haba atau suhu panas.

“Sebenarnya apabila kanak-kanak terdedah kepada haba persekitaran terutama dalam cuaca panas, reaksi normal tubuh akan berpeluh dengan banyak.

“Berpeluh itu menunjukkan sistem tubuh menyejuk (‘cooling system’) secara alami. Ketika berpeluh jugalah cecair dalam tubuh terhidrasi dengan banyak.

“Kanak-kanak terdedah kepada haba atau kepanasan berterusan menyebabkan mereka menjadi lesu dan keletihan.

“Kanak-kanak tidak memahami perubahan yang berlaku kepada tubuh akan mengadu rasa penat dan lesu. Peranan ibu bapa adalah peka atau prihatin dengan aduan kanak-kanak yang berkemungkinan mengalami kelesuan haba,” katanya.

Katanya, kanak-kanak berusia bawah enam tahun lebih berisiko terhadap serangan strok haba yang boleh menjejaskan fungsi otak mereka.

“Isu dalam kes komplikasi cuaca panas yang sering dikaitkan kematian otak membabitkan kanak-kanak, kebiasaannya bermula dengan kecederaan otak.

“Kecederaan otak itu sendiri memperlihatkan salah satunya adalah serangan sawan dan ia lebih kerap atau mudah berlaku pada kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

“Kelompok usia ini lebih ‘rapuh’ mengenai tahap ketahanan mereka dalam menangani ancaman penyakit termasuklah yang berlaku pada organ otak.

“Otak kanak-kanak berusia di bawah enam tahun masih dalam proses berkembang dan belum cukup matang menangani tekanan termasuklah haba atau kepanasan.

“Kanak-kanak mula rasa lemas dan sakit kepala sehingga mengundang kecederaan kepada organ otak yang mana menjadi punca serangan sawan,” katanya.

Tambah pegawai perubatan itu lagi, keadaan kanak-kanak yang turut mengalami penyakit menyebabkan fungsi otak mereka juga mudah terjejas.

“Gejala diburukkan lagi dengan masalah kesihatan yang merosot seperti demam, batuk dan selsema serta akhirnya menyebabkan insiden ‘tarik’ atau serangan sawan lebih mudah selain cepat berlaku kepada kanak-kanak.

“Cuaca panas juga menyaksikan serangan bakteria kerap berlaku kepada paru-paru dan tonsil kanak-kanak. Jika tidak dirawat serangan itu boleh melarat ke otak.

“Dalam kes tertentu apabila serangan strok haba berlaku dalam pada masa yang sama jangkitan bakteria juga sudah sampai ke otak, kesihatan pesakit merosot sehingga menyebabkan kejadian otak mati sekali gus menjadi punca kepada kematian mengejut dalam kanak-kanak,” katanya.

Sehingga kini kes dilaporkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan serangan strok haba mencecah 14 kes dan dijangka jumlah terus meningkat menjelang Ogos.

“Peranan ibu bapa sangat penting dalam pencegahan dan rawatan awal kerana itu menentukan komplikasi akibat serangan strok haba atau kelesuan haba.

“Ibu bapa perlu lebih proaktif dalam pencegahan masalah kelesuan dan serangan strok terhadap anak-anak mereka.

“Malah ibu bapa termasuklah pengasuh perlu pantau anak masing-masing terutama yang ada masalah kesihatan contohnya pesakit asma dan jantung kerana lebih tinggi risiko mereka.

“Jika berada dalam ruang tertutup seperti dalam kenderaan, pastikan udara panas dikeluarkan dan pendingin hawa dibuka mengelak kelesuan atau serangan haba.

“Galakkan anak minum air dan jika mereka tidak mahu minum air bersih, bancuhan air glukosa atau jus buah-buahan boleh membantu.

“Kerap juga basahkan tubuh anak dengan air terutama di bahagian kepala bagi mengelak kelesuan atau serangan strok haba,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd