PARALIMPIK: Yusof tak sabar gegar Jepun

PARALIMPIK: Yusof  tak sabar gegar Jepun

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin mengakui tidak sabar untuk memulakan kayuhan sulung di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, hujung bulan ini.

Biarpun ia menjadi Paralimpik pertamanya, namun pelumba berusia 24 tahun itu menegaskan akan berusaha sedaya upaya untuk menyumbang sesuatu bagi mengharumkan nama negara di bumi Jepun.

Dia yang diletakkan sebagai antara atlet yang mampu meraih pingat buat kontinjen negara berkata, segala persiapan rapi sudah dilakukan bersama skuad berbasikal negara sejak hujung tahun lalu.

“Kami tak letak sasaran (pingat), cuma saya akan cuba buat yang terbaik sebab nak banggakan nama negara di sana dan cuba untuk bawa sesuatu untuk negara.

“Ini Paralimpik pertama saya. Jadi saya cuba dapatkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dan kalau ada rezeki saya akan bawa balik pingat,” katanya kepada BH Sukan.

Pelumba kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu bukan calang-calang atlet dengan dia pernah memenangi pingat gangsa di Kejohanan Berbasikal Para Trek Dunia UCI di Milton, Kanada, tahun lalu.

Malah, di Tokyo nanti dia akan turun beraksi dalam empat acara iaitu 3,000 meter individu (m), pecut berpasukan, individu ujian masa dan lebuh raya.

Selain itu, Yusof turut mengakui bakal berdepan cabaran sengit daripada beberapa negara lain terutama China, Britain, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Katanya, tumpuannya lebih terarah kepada acara trek kerana ia dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk meraih pingat berbanding acara lebuh raya.

“Jurulatih banyak sasarkan kami dalam acara trek sebab nampak kami boleh raih sesuatu dalam acara trek lelaki. Tapi ia tetap mencabar dan ada saingan hebat dari negara lain.

“Apa pun semangat saya tetap tinggi dan terima aksih kepada keluarga, jurulatih, MSN (Majlis Sukan Negara) serta semua pihak yang banyak memberi dorongan,” katanya.

Info:

Sukan Berbasikal Paralimpik Tokyo

Acara – Trek

Venue – Velodrom Izu

Jadual – 25 hingga 28 Ogos

Acara – Lebuhraya

Venue – Fuji International Speedway

Tarikh – 31 Ogos hingga 3 September

Nama: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin

Tarikh lahir: 30 September 1997 (24)

Asal: Kuala Kangsar, Perak

Pencapaian

Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017

*1 emas, 1 perak, 1 gangsa

Sukan Para Asia Indonesia 2018

* 1 perak

Kejohanan Berbasikal-Para Trek Dunia UCI 2020 di Kanada

* 1 gangsa

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top