Paris: Pendakwa raya awam Paris pada Selasa membuka siasatan terhadap kenyataan seorang ahli politik Paraguay terhadap kapten bola sepak Perancis, Kylian Mbappe.
Celeste Amarilla, anggota parti pembangkang utama Paraguay, Parti Liberal, menggelar Mbappe sebagai ‘warga Cameroon yang dijajah dan berpura-pura menjadi orang Perancis, penuh kepahitan, kaya baharu, angkuh dan hodoh’ selepas Perancis menewaskan Paraguay 1-0 pada Sabtu untuk mara ke suku akhir Piala Dunia.
Keputusan itu dibuat selepas Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) membuat aduan kepada pusat kebangsaan Perancis bagi memerangi kebencian dalam talian.
Pihak berkuasa di ibu negara Perancis itu memulakan siasatan berhubung ‘penghinaan yang dibuat secara terbuka dan diperburukkan kerana ia dilemparkan berdasarkan asal usul sebenar atau sangkaan, etnik, kewarganegaraan, bangsa atau agama mangsa’.
Kesalahan berkenaan boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun serta denda €45,000 (RM209,000).
Kenyataan Celeste di media sosial itu mendapat kecaman meluas dengan Mbappe menyifatkan Celeste ‘tidak layak memegang jawatan terbabit’.
Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, beliau ‘mengutuk tanpa berbelah bahagi’ serangan berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid itu.
Pada awal Selasa, jurucakap pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Thameen Al-Kheetan turut mengecam kenyataan berkenaan sebagai ‘perkauman dan tidak berperikemanusiaan’.
Pejabat pendakwa raya awam bertanggungjawab mengarahkan siasatan dan mempunyai kuasa memulakan tindakan undang-undang, namun ia tidak semestinya membawa kepada waran tangkap atau perbicaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




