KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan golongan muda dalam negara tidak berhijrah keluar dan meneruskan usaha dalam pemerkasaan sektor pertanian Malaysia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin menjelaskan di Dewan Rakyat, kementeriannya juga mengambil kira untuk meningkatkan pendapatan golongan muda yang berkecimpung dalam bidang pertanian menerusi program Transformasi Perusahaan Getah Nasional (Target).
“Menerusi projek itu, anak-anak muda yang terdiri daripada pekebun kecil, peniaga, usahawan dan koperasi kecil getah akan disatukan bagi membentuk sebuah konsortium atau koperasi lebih besar.
“Koperasi ini akan memproses getah skrap (cuplump) yang dikeluarkan oleh pekebun kecil kepada getah krip yang lebih bernilai tambah. Ia dijangka mampu menambah baik pendapatan pekebun kecil di samping memupuk nilai daya saing dan kemampanan sektor pertengahan industri getah.
“Projek ini akan dilaksanakan dengan sasaran seramai 200 pekebun kecil getah bagi setiap koperasi yang layak. Pada masa ini sebuah koperasi di Perak telah dikenal pasti sebagai perintis atau model pelaksanaan Target,” jelasnya.
Terdahulu, menerusi soalan tambahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim telah bertanya inisiatif kerajaan untuk memastikan anak-anak muda tidak keluar mencari pekerjaan di luar dan kekal dalam komuniti bagi memajukan sektor tersebut.
Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang juga menjelaskan tentang Program Koridor Lateks Pantai Timur yang mampu untuk meningkatkan hasil sekali gus membuka peluang untuk anak muda peroleh pendapatan yang lebih baik.
Jelasnya, pada tahun 2020, negara mengimport sekitar 350,000 tan lateks dengan nilai import sebanyak RM2.68 bilion berikutan pengeluaran lateks negara hanya berjumlah 7.3% dari pasaran tempatan.
“Bagi menarik anak muda memperoleh pendapatan lebih baik melalui pengeluaran lateks, program itu telah diperkenalkan pada tahun 2021. Program ini akan diperluas ke seluruh negara pada tahun 2022 yang mengandungi beberapa elemen penarikan seperti Insentif Pengeluaran Lateks dan insentif baja.
“Ia dijangka dapat mengurangkan kebergantungan industri hiliran kepada sumber lateks import sekurang-kurangnya 30% serta penjimatan aliran keluar tunai dianggarkan sebanyak RM750 juta setahun,” katanya. -UTUSAN ONLINE



