Parti Liberal menang pilihan raya Kanada

Parti Liberal menang pilihan raya Kanada

TORONTO: Parti Liberal yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Mark Carney memenangi Pilihan Raya Persekutuan Kanada, menandakan perubahan mendadak dalam nasib politik mereka yang dipacu oleh ancaman pengambil alihan secara paksa dan perang perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS).

Parti Liberal dijangka memperoleh lebih banyak kerusi daripada Parti Konservatif dalam Parlimen yang mempunyai 343 kerusi, namun masih belum jelas sama ada mereka mampu membentuk majoriti mutlak yang membolehkan mereka meluluskan undang-undang tanpa sokongan parti lain.

Sebelum ini, Parti Liberal dijangka mengalami kekalahan besar sehinggalah Presiden AS, Donald Trump mula menyerang ekonomi Kanada dan mengancam kedaulatan negara itu.

Malah, Trump menyarankan agar Kanada dijadikan negeri ke-51 AS.

Tindakan Trump itu mencetuskan kemarahan rakyat Kanada dan menyemarakkan semangat nasionalisme, sekali gus membantu Parti Liberal menukar arus kempen dan meraih kemenangan bagi penggal keempat berturut-turut.

Ketua Parti Konservatif, Pierre Poilievre, pada awalnya berharap pilihan raya kali ini akan menjadi referendum terhadap bekas Perdana Menteri, Justin Trudeau, yang popularitinya merudum akibat peningkatan harga makanan dan perumahan sepanjang tempoh pemerintahannya selama sedekad.

Namun segalanya berubah apabila Trump melancarkan serangan, Trudeau meletak jawatan dan Carney yang juga bekas Gabenor Bank Pusat sebanyak dua kali mengambil alih kepimpinan Parti Liberal dan jawatan Perdana Menteri.

Pada hari pengundian, Trump turut mengejek Kanada di media sosial, mendakwa beliau seolah-olah turut bertanding dalam pilihan raya tersebut dan AS memberi subsidi kepada negara itu, yang dianggap sangat menghina oleh rakyat Kanada.

Keangkuhan Trump mungkin menjadi punca lonjakan undian dengan seramai 7.3 juta rakyat Kanada mengundi lebih awal, rekod tertinggi setakat ini.

Serangan Trump juga memaksa Parti Konservatif dan Poilievre berada dalam kedudukan bertahan, dan kebangkitan semangat patriotik jelas membantu kemenangan Liberal.

Hari pengundian turut berlaku dalam suasana suram selepas satu serangan berdarah di sebuah pesta jalanan di Vancouver hujung minggu lalu, memaksa kempen digantung selama beberapa jam.

Polis mengesahkan kejadian itu bukan bermotifkan keganasan dan suspek ialah lelaki tempatan dengan sejarah masalah kesihatan mental.

Pilihan raya kali ini menyaksikan isu dasar luar paling dominan sejak 1988, ketika isu perdagangan bebas dengan AS menjadi tumpuan utama.

Walaupun Carney dan Parti Liberal berjaya mempertahankan kuasa untuk penggal keempat, pelbagai cabaran besar menanti.

Selain berdepan tarif AS yang menyeluruh terhadap barangan Kanada, negara ini masih bergelut dengan krisis kos sara hidup yang berpanjangan.-AGENSI

Scroll to Top