Parti NasDem sertai pakatan Prabowo

Parti NasDem sertai pakatan Prabowo

JAKARTA – Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kini menguasai majoriti Parlimen selepas Parti NasDem yang sebelum ini menyokong pesaingnya mengumumkan penyertaan dalam pakatan Prabowo. 

Parti NasDem, yang memiliki kira-kira 10% kerusi Parlimen, menyatakan sokongan mereka semalam.

Langkah itu meningkatkan penguasaan Prabowo terhadap Parlimen daripada 43% kepada 52% yang memudahkan proses perundangan termasuk kelulusan bajet 2025 yang akan diumumkan Presiden Joko Widodo, atau Jokowi. 

Prabowo, bekas komander tentera dan naib presiden terpilih, Gibran Rakabuming Raka yang merupakan anak sulung Jokowi akan dilantik pada 20 Oktober ini.

Ketua NasDem, Surya Paloh berkata, keputusan itu bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih stabil dan optimistik bagi pentadbiran akan datang.

Parti NasDem sebelum ini menyokong Anies Baswedan, bekas gabenor Jakarta yang kalah dalam pemilihan Presiden. 

NasDem kemudiannya menarik balik sokongan terhadap Anies untuk jawatan Gabenor Jakarta November ini.

Anies adalah calon utama dalam persaingan merebut jawatan Gabenor Jakarta, menurut tinjauan pendapat, sedang berusaha dan optimis mencari sokongan tambahan. 

Sementara itu, peletakan jawatan Airlangga Hartarto sebagai Ketua Golkar, parti politik kedua terbesar di Indonesia, menimbulkan spekulasi bahawa Jokowi mungkin berusaha mendapatkan kawalan ke atas Golkar sebelum beliau berundur. 

Kongres parti itu yang sepatutnya diadakan pada Disember kini dijadualkan semula untuk minggu depan bagi memilih Pengerusi baru. – MalaysiaGazette

Scroll to Top