am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Pasangan kembar tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4, di sini, Muhammad Aisy Firas Mohd Hairin dan Muhammad Aisy Faris Mohd Hairin teruja memulakan hati pertama sesi persekolahan mereka.
Ibunya, yang juga guru di sekolah berkenaan, Siti Sarah Zaiton, 39, berkata, anak kedua dan bongsunya itu bersemangat untuk sekolah kerana telah belajar di peringkat prasekolah di sekolah sama.
Katanya keterujaan mereka dapat dilihat apabila hanya mengejutkan mereka sekali saja pada jam 5.30 pagi ini.
“Hari ini saya kejut sekali sahaja, masing-masing terus bangun, mandi, bersiap dan sarapan tanpa banyak kerenah dan ragam.
“Saya tidak bimbang sangat kerana mereka telah belajar peringkat pra di sekolah sama. Alhamdulillah rezeki saya juga dapat lihat anak hari pertama sekolah tahun satu,” katanya yang mengajar subjek Pendidikan Islam.
Sementara itu, eksekutif syarikat elektrik, Nadzrul Iskandar Jalani, 36, turut berkongsi keterujaan anak bongsunya melangkah ke alam baru persekolahan tahun ini.
Katanya anaknya tidak menangis dan tidak sabar untuk berkenalan dengan rakan baru.
“Risau juga sebab anak lelaki saya yang ini kurang bercakap, tetapi ada abangnya tahun tiga di sekolah sama jadi kurang sikit rasa bimbang.
“Waktu rehat nanti akan lihat anak, ajarkan apa yang perlu untuk membeli makanan,”katanya.
Bagi Pegawai Penjara, Diana Alida Md Yusuff, 41, anak bongsunya sudah tiga hari bertanyakan mengenai persekolahan baru.
“Saya kejut jam 6 pagi dia terus bangun dan selesaikan semua sendiri. Pergi dan pulang memang saya ambil sebab jarak sekolah agak jauh sedikit. Risau juga sebab ini baru kali pertama ke alam persekolahan formal. Harap semua berjalan lancar,” katanya.
Seramai 55,503 pelajar tahun satu di Johor memulakan sesi persekolahan bagi kumpulan B yang bermula hari ini.
Sesi persekolahan bermula Isnin adalah pertama kali di Johor selepas 10 tahun memulakan sesi pada Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




