Pasukan ragbi SMKGV dapat suntikan semangat

Pasukan ragbi SMKGV dapat suntikan semangat

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Usaha Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV) Seremban untuk mengekalkan reputasi selaku jaguh sukan ragbi disegani di peringkat sekolah dan remaja kebangsaan mendapat sokongan pelbagai pihak.

Terbaharu, syarikat jenama pakaian sukan tempatan yang semakin berkembang, Debrog Sportwear tampil membantu pasukan ragbi sekolah berkenaan bagi musim 2025.

Penajaan bernilai RM30,000 itu meliputi pakaian sukan berkualiti tinggi serta peralatan ragbi, bertujuan untuk memperkasakan prestasi atlet muda di peringkat sekolah.

Pengetua SMKGV, Murad Nordin mengalu-alukan sokongan syarikat berkenaan untuk membantu pihak sekolah dalam usaha memajukan lagi sukan ragbi di kalangan pasukan remaja tempatan.

Menurutnya, kesediaan syarikat terbabit menaja sudah tentu berpandukan kepada prestasi dan pencapaian sekolah ini dalam pelbagai kejohanan.

“Insya-Allah, melalui penajaan ini akan membakar semangat pelajar dan pemain untuk kami membabitkan diri dengan lebih aktif dan membuat pencapaian lebih baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai balasan atas sokongan ini, pemain ragbi sekolah mesti mempamerkan jenama ini dengan kejayaan yang membanggakan terutama di peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara SMKGV dengan Debrog Sportwear, di sini, lewat petang semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Jalil dan Pengarah Urusan Debrog Sportwear, Aiman Hakim Rashid.

Sementara itu, Aiman Hakim berkata, beliau adalah bekas pelajar dan pemain ragbi SMKGV pada tahun 2016.

Menurutnya, kesudian untuk menaja pasukan ragbi sekolah itu adalah atas keinginan tinggi untuk melihat SMKGV terus cemerlang dan berjaya mengekalkan reputasi selaku jaguh di peringkat Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) serta kejohanan remaja kebangsaan.

“Kami akan terus membantu pasukan ragbi sekolah ini untuk terus berada pada tahap tertinggi termasuk dalam melahirkan pemain ragbi bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, SMKGV muncul juara Kejohanan Ragbi 10s Kebangsaan 2024, Naib Juara Kuala Muda Rugby 10’s 2024 dan mara ke pusingan kedua bawah 15 tahun MSSM 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top