PBAKL 2026 bukti rakyat Malaysia masih gemar membaca

PBAKL 2026 bukti rakyat Malaysia masih gemar membaca

zhahirah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lambakan maklumat digital dan penggunaan media sosial yang semakin meluas bukan penghalang buat generasi muda untuk terus menjadikan buku sebagai sumber ilmu utama.

Tinjauan Harian Metro pada hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini mendapati ramai anak muda masih gemar membaca buku kerana kandungannya lebih sahih, mendidik serta mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berfikir.

Pesta buku terbesar negara yang berlangsung bermula hari ini hingga 7 Jun depan itu turut menerima sambutan memberangsangkan daripada pengunjung pelbagai peringkat usia yang hadir mendapatkan bahan bacaan kegemaran masing-masing.

Seorang pengunjung, Muhd Danish Hakim,17 berkata, buku masih relevan kerana kandungannya lebih diyakini dan mempunyai maklumat yang sahih berbanding sebahagian maklumat di media sosial.

“Kalau dekat media sosial, kita tak semestinya boleh pastikan maklumat itu sahih, tetapi dalam buku kebanyakannya sudah diteliti dan mempunyai fakta yang tepat.

“Selain itu, membaca buku juga dapat meningkatkan kemahiran berfikir dan lebih baik untuk mata berbanding terlalu lama melihat telefon,” katanya.

Menurutnya, masyarakat terutama golongan muda perlu terus menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian kerana ia memberi manfaat kepada kesihatan mental dan perkembangan diri.

Sementara itu, Fahim Iskandar,17, berkata, buku bukan sahaja penting untuk pembelajaran di sekolah, malah mampu menjadi medium hiburan menerusi komik dan novel.

“Buku ini bukan sekadar bahan ilmiah, tetapi ada juga yang boleh dijadikan hiburan. Pada masa sama, membaca buku membantu kita mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih,” katanya.

Dia turut menggalakkan orang ramai supaya lebih rajin membaca bagi menambah ilmu pengetahuan dan meluaskan pemikiran.

Bagi Muhd Zabir pula, pengalaman membaca buku memberikan suasana dan pengalaman berbeza berbanding membaca secara dalam talian.

“Kalau baca buku, kita boleh dapat lebih banyak fakta menarik terutama sejarah atau hikayat lama yang susah diperoleh secara dalam talian.

“Sebab itu saya rasa membaca buku masih penting dan relevan sampai sekarang,” katanya.

Tambahnya, budaya membaca perlu diterapkan dalam masyarakat kerana ia mampu meningkatkan ilmu pengetahuan dan membantu dalam kehidupan seharian.

Tinjauan Harian Metro mendapati sambutan pengunjung pada hari pertama pesta buku itu memberangsangkan dengan ramai ibu bapa dan anak muda mengambil peluang mendapatkan pelbagai bahan bacaan pada harga promosi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top