bhsukan@bh.com.my
MELAKA: Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Perdana, Sarawak United akhirnya lebur selepas tewas mengejut 2-0 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Keputusan itu jelas mengejutkan tatkala PDRM berada di dasar liga dan baru melakar satu kemenangan, namun anak buah E Elavarasan harus menyalahkan diri sendiri berikutan persembahan mereka dilihat tidak seperti enam aksi sebelum ini.
Sebaliknya, PDRM yang dipimpin bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail menampilkan aksi lebih tersusun untuk mengumpul tiga mata.
Bagaimanapun, peluang meledak jaringan awal hadir buat Sarawak menerusi percubaan Christie Jayaseelan pada minit ke-10 namun rembatannya hanya tepat ke tiang kiri gawang pelawat.
Namun, PDRM juga bijak memberi tekanan kepada tuan rumah selepas rembatan Lazarus Kaimbi pada minit ke-17 berjaya ditepis keluar penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee.
Malah, mereka hampir mengejutkan Sarawak menerusi rembatan menarik dari jarak 25 meter dicipta Bruno Suzuki namun percubaannya sedikit tersasar ke kiri gawang tuan rumah.
Babak kedua menyaksikan PDRM lebih kerap menyerang untuk memastikan mereka mampu pulang ceria, namun rembatan Kaimbi pada m-50 berjaya diselamatkan Mohd Sarbinee.
Apapun, usaha The Cops akhirnya membuahkan hasil selepas Kaimbi mencetak gol pertama perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-59.
Penalti terbabit berpunca daripada tindakan Tommy Mawat yang menjatuhkan Alif Naquiddin Mohd Shouffi.
Kecekapan Sharbinee yang bijak menutup ruang menyaksikan Sarawak United tidak bolos lebih besar namun gawang mereka sekali lagi bocor menerusi jaringan Nabil Ahmad Lapti pada minit ke-87 selepas mengutip hantaran Bruno.
© New Straits Times Press (M) Bhd




