Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Masters Maaysia

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Masters Maaysia

KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit selepas kecundang pada set pertama, sekali gus menempat slot ke pusingan separuh akhir Masters Malaysia 2023.

Gandingan pilihan keenam kejohanan itu melakukan kejutan dengan menewaskan beregu pilihan keempat daripada Jepun, Yuku Fukushima-Sayaka Hirota, di Axiata Arena, di sini hari ini.

Pearly-Thinaah bermula kurang baik dengan beberapa kesilapan di jaring yang mengakibatkan pasangan Malaysia itu tewas 13-21 pada set pertama.

Meskipun ketinggalan sebaik bermula set kedua, beregu nombor 11 dunia itu bekerja keras untuk menyamakan kedudukan 16-16 dan akhirnya berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mendominasi set kedua dengan 21-19.

Pasangan itu sekali lagi berjaya bangkit apabila ketinggalan 1-6 dalam set ketiga dan terus mempamerkan aksi mantap untuk membawa kedudukan ke 18–15, sebelum meraih kemenangan 21-16 selepas bertarung hampir dua jam.

Beregu Korea Selatan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir selepas pilihan kelima kejohanan itu mengejutkan pilihan kedua Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti daripada Indonesia, 21-15, 18-21, 21-16.

Meskipun kelelahan pada dua set terakhir, Pearly mengakui kehadiran ahli keluarganya memberi semangat untuk beliau meneruskan perlawanan dan mara ke peringkat seterusnya bersama Thinaah.

“Saya bukan cedera tapi saya pada suatu ketika saya tak mampu berdiri dan stabilkan badan di gelanggang, namun saya tak mahu kecewakan pasangan saya yang banyak membantu saya.

“Saya juga tak nak kecewakan jurulatih. Saya cuma beritahu diri sendiri untuk jadi lebih kuat dan berjuang hingga saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Ditanya mengenai insiden pada set ketiga apabila pengadil secara tiba-tiba menghentikan permainan ketika ‘rally’ panjang dan pasangan Jepun mendahului 12-11, Pearly berkata tiada apa yang dapat mereka lakukan tentang keputusan itu.- BERNAMA