Peaty azam kaut lebih banyak emas di LA28

Peaty azam kaut lebih banyak emas di LA28

London: Juara olimpik tiga kali dan pemegang rekod dunia, Adam Peaty menyatakan hasrat untuk meraih lebih banyak emas di Suka Olimpik Los Angeles (LA28) selepas tuan rumah membuat keputusan menambah enam acara pecut 50 meter (m) dalam acara renang.

Atlet kuak dada itu terlepas pingat emas 100m kerana tewas 0.02 saat kepada Nicolo Martinenghi dari Itali di Paris selepas disahkan positif Covid-19.

Menurut Peaty, walaupun sudah berusia 30 tahun sebagai pemegang rekod dunia itu bukan penghalang untuk dia lebih ke hadapan.

“Acara pecut 50m ditambah di LA 2028 dan saya mengesahkan percubaan berada di Olimpik untuk kali keempat,” kata Peaty di media sosial.

“Ia adalah keputusan terbaik untuk sukan luar biasa ini dan akan membolehkan lebih ramai orang terbabit serta terus beraksi lebih lama.”

“Saya berasa mampu melakukan lebih baik untuk tiga tahun yang akan datang.”

Peaty yang akan berusia 33 tahun menjelang LA28 merasakan tiada beban untuknya berlatih kerana acara 50m agak mudah berbanding 100 dan 200m yang sedia ada.

Selain acara 50m kuak dada, turut dipertandingkan kuak kupu-kupu dan kuak lentang lelaki dan wanita di LA28 menjadikan jumlah pingat bertambah kepada 41.

Program yang diperluaskan di LA28 akan melihat perubahan bagi perenang yang lebih berusia yang mungkin akan menamatkan karier Olimpik mereka selepas Paris.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top