Peguam Ali Puteh belum terima arahan isu nak bayar saman secara ansuran

Peguam Ali Puteh belum terima arahan isu nak bayar saman secara ansuran

Baru-baru ini, pelawak, Ali Puteh memaklumkan yang akan membayar saman sebanyak RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali secara ansuran selepas kisah mereka kembali viral.

Namun, Hidayah dengan tegas mengatakan yang dia tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan mahu ia diselesaikan segera kerana mahu fokus dengan perniagaan serta anak tersayang, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 4.

Susulan daripada itu, memetik dari laporan Harian Metro, peguam kepada Ali Puteh iaitu Noorazmir Zakaria  mengatakan yang dia masih belum menerima arahan daripada pihak Ali dan keluarganya berhubung surat pembayaran secara ansuran kepada balu Allahyarham Abam Bocey.

Ujarnya lagi, dia tidak boleh mengulas lajut berhubug perkara tersebut kerana belum menerima sebarang arahan daripada mereka.

“Buat masa ini, saya masih belum menerima apa-apa arahan mengenai perkara itu dari pihak Ali dan keluarganya,” katanya.

Tambah Noorazmir lagi, bayaran secara ansuran itu tidak timbul lagi kerana Hidayah masih tidak bersetuju dengan cara tersebut.

“Kalau Ali bersetuju untuk bayar secara ansuran pun tapi pihak Hidayah dah cakap tidak setuju. Jadi isu bayaran ansuran bukan lagi isu. Mungkin Hidayah boleh mendapatkan nasihat daripada peguamnya berkenaan perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Ali Puteh memaklumkan yang dia bersetuju untuk membayar saman kepada Hidayah secara ansuran menggunakan duitnya sendiri.

Setakat ini, proses pembayaran masih lagi dalam perbincangan antara peguamnya dan juga peguam Hidayah.

Untuk rekod, Mahkamah Sesyen telah memerintahkan Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.

Sumber: Harian Metro (Ramlah Zainal)