am@hmetro.com.my
Nilai: Pekerja warga asing berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat selepas tertimbus dalam runtuhan tanah ketika kerja pemasangan paip pembetungan di Jalan Teknologi 5, Kawasan Perindustrian Tech Park, Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa yang berusia 38 tahun bagaimanapun mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan.
Komander Operasi, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 7.44 malam sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai ke lokasi.
“Laporan awal mengatakan terdapat seorang pekerja warga asing dikatakan tertimbus tanah ketika kerja pemasangan paip di dalam saluran parit sedalam 2.5 meter.
“Kami melakukan kerja untuk mengeluarkan mangsa secara berhati-hati kerana tanah yang runtuh belum stabil, selain bimbang tanah lain yang runtuh,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar pada 9.28 malam sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan.
“Menurut mangsa, dia dihempap dan tertimbus sepenuhnya, namun masih terdapat sedikit ruang untuk bernafas.
“Tindakan pantas dan berhati-hati telah berjaya mengeluarkan mangsa dalam keadaan selamat,” katanya yang memaklumkan operasi turut mendapat bantuan polis dan pasukan St John Ambulance.
© New Straits Times Press (M) Bhd




