Iran lancar serangan berskala besar terhadap pangkalan AS di Asia Barat

Iran lancar serangan berskala besar terhadap pangkalan AS di Asia Barat

TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan Tentera Iran mendakwa melancarkan siri serangan balas berskala besar terhadap kepentingan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat, termasuk menyasarkan markas Armada Kelima AS di Bahrain.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan awal pagi Khamis, IRGC memaklumkan operasi tersebut dilaksanakan dalam dua gelombang serangan sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS ke atas beberapa kawasan di selatan Iran.

Menurut IRGC, Pasukan Aeroangkasa dan Tentera Lautnya telah menyerang 18 sasaran utama milik tentera AS di beberapa pangkalan tentera di Kuwait dan Bahrain.

Antara lokasi yang didakwa menjadi sasaran ialah Pangkalan Udara Ali Al-Salem dan Ahmad Al-Jaber di Kuwait serta Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain.

IRGC mendakwa semua sasaran berkenaan berjaya dimusnahkan, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak AS berhubung dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Perhubungan Awam Tentera Iran memaklumkan pihaknya turut melancarkan serangan dron terhadap markas Armada Kelima AS di Bahrain.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan menggunakan beberapa dron bersenjata sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai pencabulan gencatan senjata dan serangan ke atas wilayah selatan Iran.

Tentera Iran mendakwa serangan tersebut menyasarkan antena komunikasi dan sistem radar yang berkaitan dengan sistem pertahanan udara Patriot milik AS.

Mereka turut menegaskan bahawa pasukan keselamatan negara itu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan akan meneruskan operasi ketenteraan sehingga apa yang disifatkan sebagai ‘hukuman terhadap pihak penceroboh’ disempurnakan.

Sementara itu, Markas Pusat Khatam al-Anbiya yang menyelaraskan operasi ketenteraan Iran berkata, tindak balas tegas angkatan bersenjata negara itu telah memaksa serangan terbaharu AS dihentikan.

Pada masa sama, Presiden AS, Donald Trump mendakwa operasi pengeboman terhadap Iran akan dihentikan dalam masa terdekat selepas beberapa pegawai kanan Iran didakwa menghubunginya untuk meminta serangan dihentikan.

Bagaimanapun, IRGC menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan Washington untuk mengelak daripada konflik yang semakin memuncak.

Ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat selepas tentera AS mengesahkan melancarkan gelombang serangan baharu ke atas beberapa sasaran di wilayah selatan Iran.

Susulan perkembangan itu, Iran turut mengumumkan penutupan Selat Hormuz, iaitu laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi utama perdagangan minyak dunia.

Dalam kenyataannya, Markas Pusat Khatam al-Anbiya menegaskan semua kapal, termasuk kapal tangki minyak dan kapal dagang, dilarang melalui laluan tersebut sehingga diberitahu kelak.

Iran turut memberi amaran bahawa sebarang pergerakan kapal di Selat Hormuz akan dianggap sebagai ancaman dan berisiko menjadi sasaran tindakan ketenteraan. – Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top