
Mana-mana kapal yang melalui selat itu akan dikenakan tindakan ketenteraan. – Foto Tasnim News Agency
TEHERAN – Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz kepada semua kapal tangki minyak dan kapal dagang susulan serangan baharu yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa lokasi di negara itu pada Khamis.
Komando Pusat Khatam al-Anbiya dalam satu kenyataan memaklumkan, laluan perkapalan strategik itu ditutup serta-merta atas faktor keselamatan selepas siri serangan yang didakwa dilakukan tentera AS di wilayah selatan Hormozgan.
Menurut kenyataan tersebut, semua pergerakan kapal melalui Selat Hormuz dihentikan sehingga diberitahu kelak dan mana-mana kapal yang melanggar arahan berkenaan boleh menjadi sasaran tindakan ketenteraan.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut mengesahkan penutupan laluan itu dan memberi amaran kepada kapal-kapal yang beroperasi di Teluk Parsi serta Laut Oman supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan sehingga notis baharu dikeluarkan.
Iran mendakwa, keputusan tersebut dibuat selepas AS meneruskan tindakan ketenteraan terhadap beberapa kawasan di negara itu, sekali gus meningkatkan ketegangan yang sudah memuncak sejak beberapa minggu lalu.
Media tempatan melaporkan, beberapa letupan turut kedengaran di kawasan berhampiran Selat Hormuz selepas serangan berkenaan, manakala pihak berkuasa Iran menuduh Washington terus mencetuskan ketidakstabilan di rantau Asia Barat.
Penutupan Selat Hormuz dijangka memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global memandangkan laluan itu merupakan antara koridor perkapalan paling penting di dunia bagi perdagangan minyak dan gas.
Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Oman sebelum memasuki pasaran antarabangsa.
Susulan perkembangan itu, harga minyak mentah dunia dilaporkan meningkat apabila pelabur mula bimbang terhadap kemungkinan gangguan bekalan tenaga sekiranya konflik antara Teheran dan Washington terus berlarutan.
Bagaimanapun, pihak AS menafikan dakwaan bahawa laluan tersebut telah ditutup sepenuhnya dan memaklumkan trafik maritim masih bergerak seperti biasa di beberapa kawasan berhampiran.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi episod peningkatan ketegangan antara Iran dan AS yang berpotensi memberi kesan bukan sahaja kepada rantau Asia Barat, malah ekonomi global secara keseluruhannya. – Agensi



