Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berpandangan parti-parti Melayu perlu memberi laluan kepada PAS untuk mengetuai kerajaan sekiranya mahu merealisasikan agenda penyatuan ummah dan membentuk sebuah gabungan yang lebih kukuh pada masa hadapan.
Menurut beliau, cadangan itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah lama disuarakan memandangkan PAS merupakan parti terbesar dalam kalangan parti Melayu ketika ini selain belum pernah menerajui jawatan Perdana Menteri.
“Sebab itu dari dulu saya telah syorkan supaya pada kali ini beri laluan kepada PAS untuk jadi Perdana Menteri. PAS adalah parti terbesar di Malaysia kini dan mereka belum pernah jadi Perdana Menteri.
“Mereka juga adalah parti yang mempunyai rekod paling bersih dan paling kurang rasuah dan salah guna kuasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, Isham turut mengulas perkembangan hubungan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilihat berdepan ketegangan kebelakangan ini.
Beliau berkata, meskipun telah menjangkakan perpecahan antara kedua-dua parti tersebut, keputusan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langkah yang baik dan praktikal.
“Tan Sri Muhyiddin berkata semalam (Selasa) BERSATU ingin kekal dalam PN. Alhamdulillah.
“Kerana saya tidak rasa ia baik jika BERSATU go solo atau masuk PH.
“Jika mereka go solo mereka akan bersaing dengan parti besar Melayu iaitu PAS dan UMNO dalam pilihan raya kelak dan besar kemungkinan mereka akan kalah undi Melayu berbanding dua parti ini,” ujarnya.

Menurut Isham, sekiranya BERSATU memilih untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), parti itu juga dijangka berdepan kesukaran untuk mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi sebelum ini kerana perlu berunding dengan parti-parti komponen lain.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa usaha penyatuan parti-parti Melayu telah diperjuangkannya sejak empat tahun lalu menerusi gagasan penyatuan ummah.
Katanya, kerjasama antara UMNO, PAS dan BERSATU berpotensi membentuk kerajaan dengan memperoleh sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen, namun usaha itu tidak menjadi kenyataan apabila UMNO memilih untuk terus bekerjasama dengan DAP.
“Saya telah nyatakan bahawa jika UMNO tinggalkan DAP dan berhenti menjadi UMDAP justeru bekerjasama dengan PAS dan BERSATU, maka kita bersama boleh menang sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan Melayu untuk membentuk kerajaan dan menghalau DAP dari memegang kuasa.
“Namun Presiden UMNO tetap memilih untuk bekerjasama dengan DAP dan menjadi UMDAP sehingga kini,” katanya.
Mengulas punca perpecahan dalam kalangan parti Melayu, Isham berpendapat isu utama adalah persaingan untuk menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, sikap terlalu mengejar dominasi politik hanya akan menyebabkan parti-parti Melayu terus berpecah dan akhirnya melemahkan kedudukan mereka sendiri.
“Saya lihat pertelingkahan antara parti-parti Melayu ini berpunca dari persoalan siapa yang akan jadi Perdana Menteri.
“Namun jika semua mahu jadi dominan maka tiada yang akan jadi dominan tetapi semua akan berpecah dan menjadi lemah dan tidak akan jadi Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pemimpin parti-parti Melayu yang berhasrat mencapai penyatuan supaya mengetepikan cita-cita peribadi untuk menjadi Perdana Menteri, khususnya mereka yang berdepan isu atau rekod berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam masa sama, Isham berpandangan BERSATU juga wajar memberi laluan kepada PAS memandangkan parti itu pernah menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sebelum ini walaupun mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak.
“Dulu PAS pernah sokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun PAS mempunyai lebih banyak kerusi dan lebih ramai penyokong berbanding BERSATU.
“Jika PAS jadi Perdana Menteri, maka kebarangkalian untuk kita bersihkan negara ini dari rasuah menjadi lebih tinggi dan realistik,” tambahnya lagi.
Beliau menambah, sekiranya usaha penyatuan tidak dapat dicapai kerana perebutan kuasa politik, PAS diyakini akan terus meneruskan perjuangannya seperti biasa demi memastikan agenda penyatuan ummah dan usaha membanteras rasuah dapat diteruskan.
Sumber: Facebook Isham Jalil




