Kuala Lumpur: Bintang Kamen Rider, Akira Kubodera, 43 ditemui mati dipercayai membunuh diri di kediamannya di Tokyo, Jumaat lalu.
Menerusi laporan The Independent, berita pemergiannya itu disahkan agensi miliknya dalam satu kenyataan, Sabtu lalu iaitu sehari selepas kematiannya.
Aktor kelahiran Jepun itu ditemui koma, namun disahkan meninggal dunia apabila tiba di hospital. Siasatan lanjut polis mengesahkan bahawa Kubodera mati akibat membunuh diri.
Kematian Kubodera cukup mengejutkan dan tidak dapat diterima oleh keluarga dan rakan-rakannya.
Kubodera berkahwin dengan aktres, Yuko Omori dan memiliki seorang cahaya mata perempuan. Pendapatannya dikatakan terjejas kerana pandemik COVID-19 selepas kekurangan tawaran lakonan.
Pada minggu lalu, Kubodera ada mempromosikan satu naskhah yang akan dijalankan pada Januari depan menerusi laman sosialnya.
Kubodera lahir dan dibesarkan di Tokyo, ditemui oleh sebuah syarikat pengurusan bakat ketika masih bergelar pelajar.
Beliau bermula sebagai model pada 1995 dan beralih kepada dunia lakonan pada 1999 sebelum membintangi beberapa siri televisyen pada 2003.
Bintang itu terkenal dengan lakonannya sebagai Kunzite dalam Pretty Guardian Sailor Moon iaitu sebuah siri yang diadaptasi menerusi drama bersiri, Manga Sailor Moon.
Kubodera juga popular menerusi 3 siri drama Kamen Rider iaitu karakter Kanai dalam Kamen Rider Blade, Aberu (Kamen Rider Kiva) dan Doktor Fujita (Kamen Rider OOO).
Kini, industri seni di Jepun melaporkan kehilangan beberapa selebriti dipercayai akibat membunuh diri seperti Takeuchi, 40, Sei Ashina, 36, dan Takashi Fujiki, 80, yang ditemui mati di kediaman masing-masing sekitar bulan September 2020.
Sumber: BH
Akmal Hakim
Glamour Desk