Pelakon Star Wars meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

London: Pelakon yang terkenal dalam filem trilogi, Star Wars sebagai watak Darth Vader iaitu Dave Prowse meninggal dunia pada usia 85 tahun semalam.

Menurut laporan BBC, berita kematian Prowse diumumkan oleh agensinya iaitu Bowington Management menerusi media sosial.

“Kami dengan penuh dukacita dan terkilan ingin mengumumkan kepada peminat seluruh dunia, David Prowse meninggal dunia pada usia 85 tahun akibat sakit mengejut. Semoga kekuatan akan sentiasa bersamanya”, tulis wakil agensi aktor berkenaan iaitu Thomas Bowington menerusi akaun Facebook.

Prowse yang lahir di Bristol terpilih membawakan watak ikonik Vader itu berdasarkan ketinggian fizikalnya iaitu 1.98 meter.

Sebagai pengetahuan, Prowse terlebih dahulu bergelar atlet angkat berat sebelum terjun ke bidang lakonan. Dalam karier sukannya, mendiang pernah mewakili England dalam Sukan Komanwel 1962 di Perth, Australia.

Tampil pertama kali di layar perak menerusi filem Casino Royale pada tahun 1967, Prowse juga terkenal dengan watak raksasa Frankestein apabila membintangi dua siri filem seram iaitu Horror of Frankestein (1979) dan Frankenstein and the Monster from Hell (1974).

Akmal Hakim
Glamour Desk