Peluang belia jadi usahawan tani muda di bawah MAFI

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM15 juta bagi melahirkan 750 usahawan tani muda di seluruh negara menerusi Program Agropreneur Muda (PAM) sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, PAM dilancarkan khusus untuk menarik penyertaan seramai mungkin golongan berusia 18 hingga 40 tahun untuk menceburi sektor agromakanan.

Kata beliau, skop program itu merangkumi penyediaan bantuan geran dalam bentuk barangan bernilai RM20,000 bagi projek baharu serta bantuan modal antara RM50,000 hingga RM500,000 bagi pengembangan projek.

“Semua yang layak akan mengikuti kursus dan khidmat nasihat teknikal serta kewangan melalui agensi-agensi di bawah kementerian,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja Agropreneur Muda di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Che Abdullah berkata, sejak 2016 hingga 2020, seramai 6,969 usahawan tani di seluruh negara menyertai PAM dengan peruntukan berjumlah RM126.23 juta dan daripada jumlah itu, seramai 509 peserta dari Kelantan.

Antara syarat penyertaan PAM ialah warganegara berusia 18 hingga 40 tahun, boleh memba, mengira dan menulis selain keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai tanah atau premis sedia ada untuk pelaksanaan projek.

Individu yang baru memulakan projek diwajibkan mengikuti program latihan teknikal anjuran jabatan atau agensi di bawah MAFI atau institusi yang diiktiraf oleh kementerian itu. – UTUSAN ONLINE