Peluang sebagai pemangkin ekonomi serantau

Peluang sebagai pemangkin ekonomi serantau

MALAYSIA sebagai Pengerusi Asean tahun ini berpeluang besar untuk menjadi pemangkin kepada ekonomi serantau, khususnya dalam memperkasa pembangunan ekonomi digital tanpa sempadan merentasi pelbagai industri seperti e-dagang, kewangan teknologi (fintech) dan logistik.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Malaysia boleh memainkan peranan sebagai koordinator dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini dan menyalurkannya ke negara Asean yang sesuai untuk pembangunan teknologi berkenaan.

“Begitu juga dalam industri tenaga boleh diperbaharui yang sememangnya sinonim dengan Asean kerana kaya dengan sumber alam semula jadi yang dapat menyokong pertumbuhan sektor ini.

“Justeru, Asean sepatutnya sudah mempunyai satu pelan strategik ekonomi yang kukuh untuk membangunkan rantau ini sebagai satu blok ekonomi yang bersepadu,” katanya.

Menurutnya, antara langkah penting termasuk menggantikan barangan import dari luar Asia Tenggara dengan pengeluaran dalaman negara Asean sendiri.

Beliau berkata, walaupun sudah ada pengecualian tarif import dan eksport antara negara Asean, inisiatif ini masih belum berjaya kerana wujud ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara anggota.

“Begitu juga dengan aspek sekuriti makanan yang menjadi agenda teras Asean beberapa tahun tetapi tidak begitu berjaya seperti yang dilalui semasa pandemik Covid-19 yang lalu di mana tidak berlaku pelarasan bekalan makanan dan baru-baru ini isu bekalan beras antara Malaysia dan Indonesia turut menjadi contoh tiadanya pelarasan dalam Asean,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat setiap negara Asean mempunyai kelebihan unik yang boleh dimanfaatkan bersama, misalnya, Myanmar dan Timor Leste mempunyai kekayaan sumber alam, manakala Singapura memiliki sistem kewangan antara terbaik di dunia.

“Kombinasi kekuatan ini boleh digunakan untuk kebaikan bersama dan Asean perlu ada pelan pembangunan infrastruktur serantau agar wujud hala tuju bersama yang kukuh, sekaligus menarik pelaburan daripada negara anggota sendiri sebelum menarik pelabur luar.

“Pertumbuhan ekonomi yang seimbang antara negara Asean bukan sahaja memberikan kemakmuran bersama tetapi juga membantu menangani isu seperti penyeludupan manusia, jenayah rentas sempadan dan ketidakstabilan politik,” katanya.

Beliau berkata, jika Asean dapat mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi serantau, ia boleh menjadi tumpuan pelabur di peringkat global, lebih-lebih lagi kedudukan geografi Asean yang strategik menjadikan rantau ini lebih penting, terutama dalam konteks geopolitik yang semakin kompleks.

“Ini termasuk isu hak asasi manusia di Myanmar, tuntutan wilayah di Kepulauan Spratly dan konflik China-Filipina serta ketegangan China-Taiwan.

“Hubungan antara pemimpin Asean yang sudah terjalin selama berdekad perlu diperkukuhkan lagi untuk memastikan visi dan misi Asean dapat direalisasikan dengan lebih efektif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top