Pemandu treler maut akibat tersepit

Pemandu treler maut akibat tersepit

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu treler maut akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan bahagian tengah lebuh raya sebelum terbalik, awal pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu berlaku di Kilometer 448.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berdekatan Rawang.

Penolong Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.41 pagi.

“Sepasukan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat sebuah treler terbabas dan melanggar pembahagi jalan di bahagian tengah sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota Bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Ihsan JBPM Selangor.

Tambah beliau, kemalangan itu menyebabkan pemandu treler berusia 28 tahun tersepit di bahagian bawah kenderaan berkenaan.

Katanya, pihak anggota mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – MalaysiaGazette