Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tampil menyelar kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.
Boleh cetus masalah lebih besar
Menurut beliau dalam satu kenyataan, apa yang dikatakan oleh Guan Eng bukan sahaja tidak membantu, malah berisiko mengeruhkan lagi hubungan ketika pimpinan BN dan Pakatan Harapan sedang berusaha meredakan beberapa isu yang timbul kebelakangan ini.
“Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.
“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap parti ini, beliau perlu memahami bahawa ramai dalam UMNO dan BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau,” katanya.
Rakyat mahukan kestabilan
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menegaskan semua pihak perlu bertindak matang dan profesional demi memastikan kestabilan politik serta kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.
“Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu dilaporkan menggesa rakyat menolak UMNO dan BN pada pilihan raya akan datang serta mendakwa gabungan tersebut tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut merujuk percubaan UMNO Negeri Sembilan untuk menggulingkan Menteri Besar, Aminuddin Harun sebagai bukti gabungan itu sanggup mengetepikan kepentingan nasional demi kepentingan politik.




