am@hmetro.com.my
Dungun: Seorang lelaki terkejut selepas menemui bom tangan ketika sedang memotong rumput di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat Bukit Besi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, bom terbabit ditemui jam 12.50 tengah hari.
Menurutnya, ketika sedang memotong rumput, lelaki terbabit ternampak objek berada di atas rumput.
“Bila mengamati objek terbabit, lelaki itu mendapati ia bom tangan sebelum menghubungi talian kecemasan.
“Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan terpaksa menutup kedua-dua arah LPT2 terbabit sejauh 300 meter demi keselamatan semua pengguna,” katanya.
Maizura berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
“Bom tangan terbabit berjaya dimusnahkan unit terbabit kira-kira jam 4 petang tadi.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dengan penemuan bom itu termasuk mengenal pasti individu yang bertanggung jawab meletakkannya di situ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

