JOHOR BAHRU: Ketiadaan beberapa nama besar pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor dalam senarai 56 calon gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menimbulkan tanda tanya komitmen mereka dalam usaha mendapatkan mandat rakyat.
Setiausaha Agung Pemuda Barisan Nasional (BN), Hafiz Ariffin berkata, perkara itu berbeza dengan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada yang akan mengekalkan pemimpin dengan rekod pencapaian kerja yang cemerlang.
Katanya, antara nama pemimpin PH yang tidak tersenarai termasuklah Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang sebelum ini berhasrat menguburkan UMNO dan BN di Johor.
“Satu perkara yang membingungkan saya selepas PH umumkan calon mereka semalam ialah di manakah panglima perang negeri mereka daripada PKR, Amanah, dan DAP.
“Di manakah Pengerusi PH, Aminolhuda Hassan, mengapa beliau tidak bertanding dan memimpin di barisan hadapan. Takkan sekadar menyerahkan tugas kepada orang bawahan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Hafiz, ketiadaan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa membuktikan PH tidak serius terhadap PRN Johor ini.
“Situasi BN berbeza apabila mempertaruhkan nama-nama pemimpin yang telah terbukti mempunyai rekod pentadbiran cemerlang dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat Johor terus terbela.
“Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi MIC Johor, K. Raven Kumar; Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon dan juga Setiausaha MCA Johor, Lee Ting Han semua akan bertanding.
“Pemimpin kami semua berada di barisan hadapan bersama pasukan dan jentera, jadi mengapa pemimpin PH tidak tawarkan diri mereka kepada pengundi. Apapun selamat maju jaya,” katanya.-UTUSAN



