Video murid dibuli tular, empat ditahan bantu siasatan

Video murid dibuli tular, empat ditahan bantu siasatan

KOTA KINABALU: Empat murid termasuk seorang murid perempuan yang dipercayai suspek utama ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian buli di asrama sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman daerah ini selepas rakaman video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan insiden berkenaan tular di media sosial hari ini.

Rakaman itu menunjukkan mangsa yang berusia lingkungan 11 tahun berada dalam keadaan ketakutan dan menangis sebelum dimarahi, diacukan penyangkut baju serta ditarik rambutnya oleh seorang murid lain yang dipercayai rakan sekelas. Mangsa kemudian dibawa ke bilik air dan diarahkan membasuh muka.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd. Razak berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa hari ini sebelum siasatan segera dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 11 Jun lalu kira-kira pukul 6.30 petang selepas mangsa dipercayai terlanggar tali ampaian di asrama sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh ke tanah.

“Suspek yang berang bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya masuk ke bilik asrama. Suspek kemudian memukul, menyepak dan menarik rambut mangsa secara bertubi-tubi.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami retak pada kaki kiri selain sakit di bahagian muka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, empat murid telah diambil keterangan dan mengaku menyaksikan kejadian itu, manakala rakaman insiden dibuat oleh dua murid perempuan menggunakan telefon bimbit milik suspek atas arahannya.

Katanya, video tersebut dimuat naik ke status WhatsApp suspek dua hari selepas kejadian sebelum dipadam sebaik sahaja ia tular di media sosial.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam asrama berkenaan. Suspek dan beberapa murid lain masih berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/507B Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut selepas siasatan polis selesai. – UTUSAN

Scroll to Top