ADA yang memanggilnya Penaldo sebagai sindiran terhadap jaringan penaltinya. Ada pula yang mesra menyebut Abang Do, tanda kasih kepada pemain yang membesar bersama mereka sejak lebih dua dekad lalu.Apa jua gelaran yang diberikan, satu perkara tidak pernah berubah… Cristiano Ronaldo sentiasa menjadi watak yang mencetuskan emosi.Beliau disanjung, dikritik, diperdebatkan, namun tidak pernah dipinggirkan daripada perhatian dunia bola sepak.Namun, di sebalik jutaan sorakan dan sokongan yang mengiringi setiap langkahnya, impian terbesar Ronaldo akhirnya berakhir di bumi Amerika Syarikat apabila Portugal tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas tewas kepada Sepanyol.Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan kempen Portugal, malah hampir pasti menutup lembaran perjalanan Ronaldo di pentas Piala Dunia.Pada usia 41 tahun ketika kejohanan berlangsung, peluang untuk kembali beraksi pada edisi akan datang dilihat amat tipis.Hakikat itu menjadikan penyingkiran kali ini cukup sukar diterima, bukan sahaja oleh Ronaldo, malah jutaan penyokong yang mengimpikan beliau akhirnya menjulang trofi yang selama ini begitu sukar digapai.Sejak membuat penampilan sulung pada edisi 2006, Ronaldo sudah mengharungi enam kempen Piala Dunia.Beliau menyaksikan generasi pemain datang dan pergi, memecahkan pelbagai rekod, menjaringkan ratusan gol serta mengumpul hampir setiap trofi yang boleh dimenangi.Namun, di sebalik segala pencapaian itu, Piala Dunia kekal menjadi satu-satunya trofi paling berprestij yang gagal berada dalam genggamannya.Mungkin benar, tidak semua legenda ditakdirkan untuk memiliki trofi itu.Namun kegagalan menjulang Piala Dunia tidak sedikit pun memadamkan legasi Ronaldo. Beliau sudah membuktikan dirinya sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman menerusi disiplin, ketekunan dan keinginan untuk terus bersaing di tahap tertinggi walaupun usia semakin meningkat.Sebab itu, setiap kali namanya menjadi sebutan, perdebatan tidak pernah berhenti. Ada yang terus mengejeknya sebagai Penaldo, manakala peminat setia pula tetap memanggilnya Abang Do dengan penuh bangga.Kerana akhirnya, gelaran hanyalah gelaran. Bagi jutaan penyokong, Ronaldo akan sentiasa dikenang sebagai pemain yang berani bermimpi, tidak pernah mengenal erti mengalah dan terus mengejar impian sehingga ke penghujung kariernya.Piala Dunia mungkin bukan takdirnya, tetapi tempat istimewa dalam hati peminat akan sentiasa menjadi miliknya.



