Pendatang asing dicekup panjat pagar, sembunyi di kilang

KLANG: Tindakan pendatang asing memanjat pagar kilang dan menyorok di sebalik mesin acuan plastik untuk meloloskan diri gagal apabila dicekup pihak berkuasa semalam.

Perbuatan itu dibongkar Jabatan Imigresen Selangor yang menggempur dua kilang di sekitar daerah ini dalam Operasi (Op) Mahir, bermula kira-kira pukul 9 pagi.

Serbuan selama tujuh jam itu membawa kepada penahanan seramai 98 warga asing berusia 22 hingga 60 tahun atas kesalahan Imigresen.

Pengarah Imigresen negeri, Dr. Muhammad Syahmi Jaafar berkata, operasi khas disertai 21 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa itu dilakukan hasil maklumat mengenai kewujudan Pati di kilang tersebut.

Katanya, semakan mendapati dua premis  itu adalah kilang kitar semula barangan logam dan kilang pengeluaran produk plastik.

“Seramai 150 warga asing diperiksa dan 98 daripada mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen. Kesemua mereka terdiri daripada 64 lelaki dan 34 wanita itu antaranya warga Indonesia, Myanmar, China, Pakistan dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Muhammad Syahmi, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dengan memanjat pagar dan bersembunyi namun berjaya ditahan pihaknya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

  “Ia melibatkan kesalahan tinggal lebih masa, tiada pas atau permit sah dan melanggar syarat pas dan permit. Majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin pula boleh disabit kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan 1963,” jelasnya. – UTUSAN