Pendedahan budaya 'yeye,' punca ATM diarah jalankan siasatan dalaman

Pendedahan budaya 'yeye,' punca ATM diarah jalankan siasatan dalaman

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

FOTO Arkib NSTP & Tular

Kuala Lumpur: Dakwaan berkenaan budaya ‘yeye’ membabitkan anggota tentera semakin mendapat perhatian selepas beberapa video dan gambar aktiviti tidak bermoral tular di media sosial.

Dalam akaun TikTok @tegak.kebenaran, didedahkan rakaman dipercayai memaparkan perlakuan tidak senonoh anggota tentera termasuk tangkap layar perbualan dengan wanita dipercayai wanita penghibur.

Isu ini menimbulkan kebimbangan ramai kerana membabitkan individu yang sepatutnya menjaga keselamatan negara, namun dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral dalam kem serta sudah berumah tangga.

Beberapa pihak juga tampil memberikan maklum balas dan membuat aduan berhubung dakwaan berkenaan, menunjukkan budaya ini mungkin lebih meluas daripada yang disangka.

Sementara itu, penyanyi rap dan aktivis sosial, Caprice dalam hantaran di Threads, berharap pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) mengambil perkara ini serius kerana boleh mencemar nama baik pasukan yang menjaga pintu negara.

Dalam satu hantaran tangkap layar aduan kepada Caprice turut mendedahkan berkaitan dakwaan budaya ‘yeye’ dalam kalangan tentera.

“Sebenarnya, ‘yeye’ adalah singkatan dalam bahasa ketenteraan, di mana ‘yeye’ merujuk kepada ‘call girl’ atau pelacur.

“Saya sangat berterima kasih kerana awak membangkitkan isu ini kerana kami sebagai pasangan tentera langsung tidak pernah didengari mengenai budaya ‘yeye’ ini.

“Gadis-gadis ‘yeye’ ini sangat hina dan tidak bermaruah, malah mereka dianggap seperti RATU di dalam kem,” tulis pengadu terbabit.

Kata pengadu terbabit, dia sudah pernah membuat aduan dan meminta pertolongan kerana dihina, diaibkan dan disihir gadis-gadis ‘yeye’ namun mereka hanya mentertawakannya.

Caprice berkata, semakin ramai individu tampil membuat aduan dan dia berharap MINDEF boleh menyiasat serta membanteras budaya ‘Yeye’ yang merosakkan rumah tangga anggota dan mencemar imej pasukan.

Dalam hantarannya, Caprice juga mengucapkan terima kasih kepada pihak MINDEF kerana cepat memberi maklum balas dan mengambil tindakan siasatan bagi menjaga nama baik anggota dan keluarga.

Harian Metro hari ini melaporkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera yang tular di media sosial.

MINDEF dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top