Pendidik perlu guna kebijaksanaan untuk bezakan ilmu tidak seperti barat

KAJANG – Golongan pendidik perlu menggunakan kebijaksanaan bagi membezakan ilmu yang dicurah kepada anak murid mereka tidak sama seperti pengajaran di barat.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Emeritus Datuk Dr. Othman Lebar mengakui ketika ini, sistem pendidikan di Malaysia banyak dipengaruhi oleh sistem pendidikan di barat.

Malah, beliau berkata, teori-teori yang digunakan di sekolah juga menggunakan kaedah yang diguna pakai oleh negara matahari terbit termasuk acuan pendidikan secara holistik.

“Di barat, walaupun mereka menggunakan pendidikan holistik tetapi, mereka memisahkan diantara spiritual dan yang lain-lain.

“Mereka menekankan perkembangan mental, emosi, sosial, tapi, dalam aspek spiritual itu dipisahkan.

“Dalam konteks kita pula spiritual roh dan rohani merupakan aspek yang penting yang dalam pendidikan kita.

“Justeru, apa yang penting setakat manakah kita menggunakan local wisdom (kebijaksanaan setempat) yang kita ada bagi membezakan kita dengan barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada program Minda Profesor bertajuk Sistem Pendidikan Di Malaysia: Mitos dan Realiti anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), di sini hari ini.

Menurut Othman, terdapat banyak model dalam sistem pendidikan negara yang mampu menggarap kebijaksanaan setempat itu bagi membina insan yang seimbang serta mewujudkan generasi berkhalifah.

Tambahnya, apa yang dilihat menerusi model integrasi dikebanyakan sekolah ia menjurus kepada pembinaan masyarakat setempat yang tidak ada dalam sistem pendidikan di barat.

“Inilah alternatif yang ada malah, saya rasakan ia merupakan perkara yang baik dan perlu kita galakkan.

“Kita bukan hanya ada kurikulum yang menekankan sistem kebangsaan tapi, kita ada sistem pendidikan yang menggabungkan kebangsaan dengan local wisdom itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette