Pendirian Malaysia pertahan keadilan, kebenaran kekal

Pendirian Malaysia pertahan keadilan, kebenaran kekal

PETALING JAYA: Malaysia akan terus bersuara bagi menentang kezaliman dan mempertahankan prinsip kebebasan, keadilan serta kebenaran tanpa mengira sama ada ia melibatkan umat Islam mahupun bukan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegasan dan kelantangan Malaysia dalam menyuarakan prinsip- tersebut adalah disebabkan tiada jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku termasuk serangan ke atas Iran, Selatan Lubnan dan Gaza.

Malah katanya, kesan daripada konflik yang berlaku pada masa kini juga semakin tidak terkawal sehingga memberi implikasi ke rantau Asia Tenggara selain daripada negara yang mempunyai ekonomi kukuh

“Kesan daripada konflik tersebut kini semakin tidak terkawal dan tempiasnya turut dirasai hingga ke rantau kita (Asia Tenggara). Negara-negara yang mempunyai ekonomi kukuh juga terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global.

” Justeru kita berharap ada dalam kalangan pemimpin politik dunia yang bijak dan waras untuk mencari jalan damai menamatkan penderitaan yang masih berpanjangan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah di Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor semalam.

Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan diplomatik akan terus terus diperkukuh melalui hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara Islam.

Katanya, Malaysia sentiasa konsisten turut menggesa negara-negara Islam memperkukuhkan perpaduan bagi menghentikan keganasan dan permusuhan yang berpanjangan tanpa penyelesaian.

“Saya sentiasa berhubung dengan Presiden Iran Dr. Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman bagi menyatakan pendirian dan pandangan kita supaya wujud semangat perpaduan dalam kalangan negara Islam untuk menghentikan keganasan dan permusuhan yang tiada titik noktah,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top