Penduduk Lubnan nekad pulang ke rumah masing-masing

Penduduk Lubnan nekad pulang ke rumah masing-masing
Penduduk Lubnan nekad pulang ke rumah masing-masing

Penduduk di kawasan selatan mengambil peluang untuk kembali ke kampung halaman masing-masing selepas tempoh bertenang selama 10 hari berkuat kuasa pada Khamis lalu. Foto Agensi

BEIRUT – Puluhan ribu keluarga mula kembali ke kampung halaman masing-masing meskipun hujan peluru dan kempen perobohan struktur berhampiran sempadan Lubnan sedang giat dijalankan rejim Zionis.

Sejak akhir minggu lalu, laluan utama sesak dengan kenderaan yang menuju ke selatan yang kini dikawal tentera Israel.

Mereka mengambil peluang selepas gencatan senjata goyah selama 10 hari berkuat kuasa. Pihak berkuasa di Beirut bagaimanapun menyarankan kumpulan tersebut menangguhkan kepulangan mereka memandangkan keadaan belum benar-benar selamat.

Ramai yang hampa kerana rumah mereka yang terletak di kawasan kubu kuat pejuang Hizbullah telah musnah dan tidak lagi boleh didiami.

Kebanyakan bangunan kediaman di Dahiyeh, pinggir selatan Beirut musnah dibedil Zionis. Foto Agensi

Kebanyakan bangunan kediaman di Dahiyeh, pinggir selatan Beirut musnah dibedil Zionis. Foto Agensi

Pertempuran terbaharu antara Israel dan proksi Iran itu telah meragut hampir 2,300 nyawa manakala lebih sejuta hilang tempat tinggal terutamanya di selatan dan pinggir selatan Lubnan.

Pada Sabtu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan penubuhan ‘Garisan Kuning’ di selatan Beirut di bawah tindakan pencerobohan sama yang dilakukan ke atas Genting Gaza. Ia juga disebut sebagai zon penampan yang sebenarnya bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan askar mereka di wilayah diduduki.

Susulan pelaksanaan tempoh bertenang itu, tentera Lubnan bersama agensi tempatan berganding bahu membersihkan laluan yang terhalang oleh sisa konkrit.

Di Hanaway, timur kota Tyre, Timbalan Datuk Bandar, Mustapha Bazzoun berikrar mahu memulihkan keadaan dengan memastikan semua perkhidmatan disediakan daripada komunikasi hingga pembukaan jalan supaya orang ramai dapat kembali menjalani kehidupan normal secepat mungkin.

Sebuah ambulans milik unit kesihatan Hizbullah ditimbuni runtuhan konkrit daripada struktur yang musnah akibat dibedil Israel. Foto Agensi

Sebuah ambulans milik unit kesihatan Hizbullah ditimbuni runtuhan konkrit daripada struktur yang musnah akibat dibedil Israel. Foto Agensi

“Kami yakin penduduk tidak akan meninggalkan kampung halaman masing-masing lagi. Mereka mungkin terpaksa berpindah buat sementara waktu, namun pasti akan kembali semula,” ujarnya.

Rangkaian media tempatan melaporkan bahawa rejim Zionis masih meneruskan operasi merobohkan struktur di beberapa perkampungan sempadan susulan penghasilan peta kawasan selatan Beirut yang telah ditawannya. – Agensi

Scroll to Top