Penduduk Sungai Besi bantah penutupan jalan utama

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Penduduk Pekan Sungai Besi hari ini membantah penutupan jalan keluar dan masuk utama ke pekan tersebut.

Ini kerana mereka terpaksa melalui perjalanan yang lebih panjang dan sesak untuk sampai ke Pekan Sungai Besi dengan melalui jalan alternatif di kawasan perniagaan Lakefiields yang sempit.

Malah ahli kariah Masjid Ibn Khaldun juga tidak terkecuali menerima tempias kesan penutupan jalan tersebut yang mana mengakibatkan kesukaran untuk mereka pergi menunaikan solat terutama solat Jumaat berikutan kesesakan yang melampau.

Ketua Parti Amanah Parlimen Bandar Tun Razak Ir. Hayatul Kamil Termudi yang mewakili warga Pekan Sungai Besi berkata, perkara tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap penduduk terutama mereka dari PPR dan Pangsapuri Permai, Kampung Malaysia dan pengunjung dari Lebuhraya Besraya dari arah Serdang.

Ketua parti Amanah Bahagian Bandar Tun Razak, Hayatul Kamil Termudi (dua dari kiri) bergambar bersama penduduk Pekan Sungai Besi ketika sidang media kesan buruk Pembinaan lebuhraya SUKE di Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 12 OKTOBER 2021.

“Sektor ekonomi kian berkembang pulih namun para peniaga di pekan ini terjejas berikutan kekurangan pelanggan yang berkunjung akibat daripada kesukaran untuk pengunjung datang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Justeru, Hayatul menyarankan supaya pihak Prasarana  mengkaji semula berkaitan isu berkenaan dengan mengambil kira pandangan dari pihak berkepentingan serta komuniti penduduk setempat.

Langkah itu, katanya, perlu bagi memastikan supaya rancangan pengurusan lalu lintas yang lebih mesra pengguna terutama kepada warga dan pengunjung Pekan Sungai Besi.-MalaysiaGazette