Pengambilan jus secara berlebihan boleh menyebabkan penyakit Diabetes

Lifestyle: Jus buah-buahan sering dikaitkan sebagai minuman yang banyak memberi manfaat untuk kesihatan.

Buah yang mengandungi pelbagai sumber vitamin bukan sahaja baik untuk kesihatan kulit malah mampu mengurangkan kolesterol dalam badan.

Bagaimanapun, tahukah bahawa pengambilan jus buah-buahan secara berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan risiko penyakit diabetes.

Perkara itu didedahkan saintis dari Harvard TH Chan School of Public Health, Boston, Amerika Syarikat.

Ketua Saintis, Dr Jean Philippe Drouin-Chartier menyatakan bahawa minuman manis termasuklah jus buah segar boleh mengakibatkan penyakit diabetes.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad pula mengakui perkara dengan itu.

Menurutnya, beberapa fakta perlu dipertimbangkan bagi menghindari risiko diabetes:

1) Jus buah-buahan boleh diambil dengan syarat serat buah tidak dipisahkan. Ia kerana tindakan mengasingkan serat boleh meningkatkan kadar penyerapan gula ke dalam darah.

2) American Academy of Pediatrics mensyorkan kanak-kanak yang berusia kurang enam tahun untuk cuma mengambil jus buah-buahan sebanyak 100 hingga 170 gram setiap hari.

Manakala kanak-kanak yang berusia tujuh hingga 18 tahun boleh mengambil antara 200 hingga 350 gram sehari.

Bagi orang dewasa, pengambilan jus buah-buahan tidak melebihi dua hingga tiga gelas sehari.

3) Tidak menambah gula ke dalam jus kerana ia akan meningkatkan tahap karbohidrat dan kalori dalam minuman itu.

4) Tidak meminum jus pada sebelah pagi ketika perut kosong andai mempunyai alahan terhadap buah itu.

5) Tidak menyimpan jus terlalu lama dalam peti sejuk namun sebaiknya habiskan minuman itu dalam masa empat jam selepas disiapkan.

6) Beberapa jenis buah seperti mangga, nangka, avokado atau durian mempunyai tahap karbohidrat yang tinggi dan seelok-eloknya tidak diambil bersama dengan makanan berat.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Lifestyle Desk