Cliff Umar dinobatkan juara GV7

Putrajaya: Cliff Umar dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) setelah membuat persembahan mantap di pentas akhir selain konsisten sepanjang minggu.

Cliff yang juga vokalis kumpulan Projek Pistol berjaya menewaskan saingan lain iaitu Muss, Noraniza Idris, Ayu Damit, Oja, Linda Nanuwil dan Ashira di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya semalam.

Kejuaraan itu melayakkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan piala. Naib juara pula disandang Muss sekali gus membolehkannya menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan juga piala.

Ayu pula terpaksa berpuas hati apabila menyandang tempat ketiga lantas memenangi hadiah wang tunai RM30,000 dan piala.

Nasib nyata tidak menyebelahi Noraniza dan Linda apabila hanya menduduki tempat keempat dan kelima sekali gus masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan RM15,000 serta piala.

Dalam pada itu, Oja dan Ashira diumumkan sebagai pemenang tempat keenam dan ketujuh dalam pertandingan itu. Kemenangan itu menghadiahkan mereka berdua wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000.

Pentas akhir GV7 itu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Konsert akhir itu dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada bekas peserta GV7 yang tersingkir iaitu Rozita Izlyn, Eva, Indigo, Haslinda, Nomad dan Aju Success.

Persembahan peserta pada peringkat akhir itu diadili oleh Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Joe Flizzow.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Glamour Desk