Penganggur dicekup curi beg dalam kereta tak berkunci

Penganggur dicekup curi beg dalam kereta tak berkunci

harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Seorang penganggur berusia 42 tahun ditahan polis selepas disyaki mencuri beg tangan dari sebuah kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci di kawasan parkir sekitar Bangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek ditahan jam 5.18 petang semalam di kawasan yang sama.

“Hasil soal siasat suspek mengaku melakukan kegiatan curi dengan modus operandi mengambil beg mangsa yang berada di dalam kereta ketika ditinggalkan dalam keadaan pintu tidak berkunci atau enjin masih dihidupkan.

“Semakan mendapati suspek yang juga warga tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan isi kandungan bag tangan berkenaan masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan lebih berwaspada supaya kejadian yang sama dapat dibendung.

Terdahulu media melaporkan pihak polis meminta mangsa yang terbabit dalam kejadian curi beg tangan yang tular di media sosial supaya tampil membuat laporan.

Sebelum itu, satu klip video tular memaparkan seorang wanita keluar meninggal kenderaan dalam keadaan tidak berkunci sebelum seorang lelaki dilihat menghampiri kereta itu dan cuba membuka pintu.

Suspek kemudian dilihat membuka pintu bahagian pemandu dan menutupnya sebelum kembali membuka pintu dengan membawa keluar sebuah beg dan melarikan diri dengan menunggang motosikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top