PETALING JAYA: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 26 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat terhadap beberapa kenderaan dengan membaling batu di Jalan Setia Puspa, Lebuhraya SPRINT, Bukit Damansara dekat sini.
Suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, polis menerima enam laporan kira-kira pukul 11 pagi pada 2 Jun lalu daripada mangsa berhubung kejadian itu.
“Suspek dipercayai membaling batu ke arah kenderaan yang melalui kawasan tersebut sehingga salah seorang mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan badan akibat terkena serpihan cermin hadapan yang pecah serta batu yang dibaling,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan dilaporkan stabil manakala mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Jumlah kerugian keseluruhan yang dialami kesemua mangsa dianggarkan melebihi RM20,000,” katanya.
Tambahnya,bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berjaya menahan suspek.
Jelasnya, turut dirampas sebuah beg pinggang milik suspek mengandungi sejumlah batu serta sebilah gunting yang telah diubah suai dan dipercayai digunakan sebagai senjata berbahaya.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan satu rekod berkaitan kesalahan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 sebelum kesemuanya dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur hari ini,” katanya. – UTUSAN




