hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik kepada Perdana Menteri, Rozaid Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya, hari ini.
Berita kematian itu disahkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
“Pejabat Perdana Menteri dengan dukacita memaklumkan bahawa Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di PMO, Rozaid Abdul Rahman meninggal dunia, petang tadi kerana masalah jantung di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya.
“Allahyarham yang berusia 58 tahun sebelum ini telah menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai lalu dan telah dibenarkan keluar hospital pada 6 Ogos lalu,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, Allahyarham dilantik menjawat tugas berkenaan pada 23 Mei 2023.
“Pejabat Perdana Menteri mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisi-Nya,” katanya.
Rozaid sebelum ini ialah Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Pada Disember 1989, beliau mencatat sejarah sebagai wartawan Malaysia yang pertama memasuki terowong dibina anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand sejurus selepas termeterainya perjanjian damai di antara PKM dan kerajaan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd