Pengguna meter pintar, aplikasi myTNB bakal terima lebih banyak manfaat

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Pengguna meter pintar dan aplikasi myTNB bakal menerima lebih banyak manfaat menerusi penambahan ciri-ciri baharu serta naik taraf perkhidmatan.

Manfaat itu akan diterima selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.

Antara ciri baharu yang bakal dinikmati pengguna adalah pemberitahuan pengesanan gangguan bekalan dan notis gangguan bekalan berkala, kata Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Mohamed Ghous Ahmad.

Jelasnya, menerusi ciri Energy Budget, pengguna dapat merancang jumlah atau had penggunaan elektrik bulanan dan akan menerima notifikasi apabila jumlah bil sasaran bulanan telah mencapai had yang ditetapkan.

“Bagi keupayaan meter pintar pula, ia dapat mendorong pengguna menggunakan elektrik dengan lebih efisien dan jimat tenaga, sekaligus membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke alam sekitar.

“Ciri-ciri baharu ini adalah bertepatan dan bersesuaian dengan usaha TNB mendukung dan merealisasikan hasrat kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dengan memperkasakan bidang ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), Noor Afifah Abdul Razak di Pusat Operasi Meter Pintar pada Selasa lalu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder  TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Untuk rekod, TNB telah memasang lebih 1 juta meter pintar setakat ini yang mana 788,000 pemasangan melibatkan pengguna di Lembah Klang manakala 317,000 lagi di Melaka.

Pemasangan meter akan diperluaskan kepada kesemua 9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026.

Sehingga akhir bulan lalu, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi myTNB di mana ia dapat membantu pengguna mengawal dan memantau penggunaan elektrik mereka.

Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). -MalaysiaGazette