Pengorbanan tanpa noktah, kasih tanpa batas

Pengorbanan tanpa noktah, kasih tanpa batas

Bulan Mei bertandang lagi. Bulan ini mengingatkan kita semua mengenai peranan wanita yang banyak berjasa iaitu ibu. Peranan ibu membawa makna yang cukup besar dalam kehidupan. Jasa dan pengorbanan mereka sememangnya tiada tolok banding. Setinggi mana darjat, pangkat dan jawatan seseorang itu, namun ingatlah, lahirnya ia daripada seorang ibu dan ayah. Sekaya mana harta atau wang ringgit seseorang bergelar jutawan, tidak ada nilai kekayaan dan tandingan terhadap kasih ibu dan ayah. Sebenarnya, memuliakan ibu bapa tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu sahaja. Memberi pengiktirafan dan penghargaan bukan hanya dilakukan sewaktu menjelang hari ibu, malah kewajipannya adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat. Setiap kali sambutan hari ibu mengingatkan penulis tentang kekuatan peranan wanita yang juga seorang ibu. Peranan wanita dalam pembangunan keluarga, ummah dan negara memang tidak boleh diperkecilkan.

Umum mengetahui bahawa topi yang dipakai oleh seorang ibu atau wanita mungkin bersamaan dengan atau lebih daripada jumlah topi pemikiran yang dicadangkan oleh De Bono dalam bukunya Six Thinking Hats. Mereka adalah tutor peribadi, guru disiplin, pemandu, tukang cuci baju, juru rawat, kaunselor, tukang masak, dan seribu satu lagi peranan yang seakan tiada noktah. Bayangkan dalam masa yang sama, wanita juga merupakan pekerja, pengurus atau pemimpin organisasi. Tentunya, urusan demi urusan dan kesibukan demi kesibukan menyebabkan wanita terdedah kepada bahaya stres.

Masyarakat secara umumnya sering beranggapan yang hidup seorang wanita atau suri rumah sepenuh masa sangat ringkas, mudah, banyak masa lapang, ‘tak ada kerja nak buat’ dan tidak mungkin mengalami stres. Tanggapan ini sama sekali tidak benar! Ini kerana suri rumah tetap bekerja meskipun dia tidak menerima pakej pampasan dan faedah seperti sumber manusia di organisasi lain. Sebagai contoh, mereka tidak diberi cuti tahunan dan mempunyai jadual waktu kerja yang tidak terhad seperti pekerja pejabat. Pendek kata, mereka bekerja 24/7, 365 hari setahun; sama seperti operasi restoran makanan segera. Walaupun hanya berperanan di rumah masing-masing, tanggung jawab seorang suri rumah sememangnya sangat berat. Onak dan durinya hanya mereka yang bergelar suri rumah sahaja yang tahu. Mereka ini adalah lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Oleh kerana suri rumah sepenuh masa juga merupakan suatu pekerjaan, ia tidak dapat menghindar penjawatnya mengalami stres seperti pekerja yang lain.

Sesuatu yang ironi tentang wanita atau suri rumah sepenuh masa yang ditanggap sebagai punya waktu lapang yang banyak adalah semua waktu itu bukan untuk dirinya. Hampir kesemua masanya diperuntukkan untuk keluarga, anak-anak, suami dan urusan rumah tangga. Suri rumah juga mengalami masalah yang sama seperti rakan mereka yang dalam masa yang sama bekerja sepenuh masa. Pastinya cabaran lebih ketara dialami oleh suri rumah yang bekerja sepenuh masa. Mengurus rumah tangga dan kerjaya dalam satu masa tentunya mencetuskan stres dalam kalangan mereka. Tanggungjawab besar yang perlu dilalui oleh seseorang wanita dalam kehidupan berkerjaya turut mempengaruhi pencapaian mereka dalam mencapai kemuncak tertinggi dalam kerjaya. Pelbagai halangan dan rintangan mendepani perjalanan kehidupan mereka terutamanya mengimbangi tuntutan keluarga dan kerjaya.

Walau apa pun andaian dan harapan setiap individu, wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ di ceruk dapur semata-mata tetapi semakin menjadi tunggak penting dalam pembangunan negara. Ingatlah bahawa tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia. Realitinya tanggungjawab yang dipamerkan sebagai ibu, isteri, pemimpin organisasi dan suri rumah cukup menginsafkan sesiapa jua yang mengenali erti pengorbanan.

Hakikatnya, pengorbanan ibu adalah sebuah cerita tanpa pengakhiran yang penuh dengan keikhlasan. Ia rela mengorbankan waktu, tenaga, bahkan mimpinya demi kebahagiaan anak-anaknya. Doa seorang ibu tiada hijab dan amat mustajab sehingga digambarkan di dalam kisah lagenda rakyat seperti Si Tanggang, Malim Kundang dan Nakhoda Manis. Ibrah kisah legenda ini tidak boleh dipandang enteng dan anak-anak perlu disedarkan betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa terhadap mereka sejak kecil. Walaupun pengorbanan itu dilakukan tanpa mengharapkan balasan namun sebagai anak kita wajar memberikan yang terbaik buat ibu bapa terutamanya ibu kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Sesungguhnya, kasih sayang dan pengorbanan mereka wajar mendapat penghormatan dalam masyarakat. Selamat Hari Ibu buat semua insan bergelar ibu.

Penulis Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top