
Young Syefura
KUANTAN – Pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mula berkuat kuasa pada Isnin sebagai langkah memperkukuh keselamatan kanak-kanak di ruang digital.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, perkembangan dunia digital ketika ini mendedahkan mereka kepada pelbagai bahaya antaranya buli siber, penipuan, kandungan yang tidak senonoh, sehinggalah kepada ancaman pemangsa seksual.
Menurutnya, langkah mengetatkan perlindungan, termasuklah mekanisma pengesahan umur untuk anak-anak bawah 16 tahun, adalah satu keutamaan yang mendesak demi keselamatan anak-anak dan keluarga kita.
“Kita sedia maklum gajet dan internet itu penting untuk masa depan dan pembelajaran mereka, tetapi apa yang kita mahukan adalah sebuah ruang digital yang selamat, bersih, dan sesuai dengan umur mereka.
“Kita mahu anak-anak meneroka internet tanpa rasa bimbang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memaklumkan penyediaan internet selamat untuk anak-anak adalah tanggungjawab yang terlalu besar untuk dipikul oleh ibu bapa bersendirian.
Ujarnya, penyedia platform media sosial juga tidak boleh lepas tangan dan mereka wajib mengambil tanggungjawab penuh serta meletakkan keselamatan anak-anak sebagai keutamaan mengatasi keuntungan.
“Melindungi anak-anak kita dalam talian memerlukan satu pasukan yang besar, ia menuntut kerjasama erat daripada pihak kerajaan, platform digital, pihak sekolah, komuniti setempat, dan pastinya institusi kekeluargaan kita sendiri.
“Bersama-sama, mari kita pastikan masa depan digital anak-anak kita lebih selamat,” katanya.



