bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: Seorang peniaga dihukum denda RM60,000 atau penjara 20 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, petang tadi, kerana menyimpan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi tanpa lesen berjumlah 5,300 kilogram, pada 12 Mac lalu.
Hakim Madihah Hairullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Hue Chong Yeh, 43, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Nombor 7, Batu 6 Taman Perindustrian Lukut Baru, Port Dickson, pada 12 Mac 2021.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong atau runcit tanpa lesen.
Tindakan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Chong Yeh membayar denda.
Sementara itu, empat lelaki warganegara Myanmar yang juga pekerja premis terbabit yang turut dituduh bagaimanapun tidak faham selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua mereka dihantar ke Penjara Sungai Udang Melaka sehingga kes disebut semula pada 20 April depan untuk jurubahasa Myanmar membacakan semula pertuduhan kepada keempat-empat tertuduh.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Nazaruddin Zainuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




