PENJAGA gol Cape Verde, Vozinha meluahkan rasa gembira selepas ibunya berjaya memperoleh visa Amerika Syarikat (AS) dan akan menyaksikan aksi pasukan itu menentang Uruguay dalam saingan Piala Dunia Isnin ini (6 pagi waktu Malaysia).
Pemain berusia 40 tahun itu menjadi tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dalam aksi pembukaan selepas membantu Cape Verde mencatat keputusan mengejutkan 0-0 menentang juara Eropah, Sepanyol di Atlanta.
Bagaimanapun, Vozinha dilaporkan sebak selepas perlawanan tersebut kerana datuk dan neneknya yang membesarkannya telah meninggal dunia, manakala ibunya, Ana Candida Evora sebelum ini tidak dapat hadir menyaksikan aksinya di pentas dunia kerana kesukaran mendapatkan visa.
Namun, Jabatan Negara AS dilaporkan campur tangan selepas kenyataan emosinya tular, sebelum mengesahkan ibunya telah menerima kelulusan visa untuk ke Amerika Syarikat.
Ibu beliau kini dalam perjalanan dari Praia, ibu kota Cape Verde dan dijangka hadir di Stadium Miami untuk menyaksikan perlawanan kedua kumpulan menentang Uruguay.
“Bagi saya ini sangat penting kerana keluarga sentiasa menyokong saya dalam segala hal. Kehadiran ibu saya di sini sangat istimewa,” katanya kepada media di kem latihan pasukan.
Vozinha turut berkata beliau berharap lebih ramai ahli keluarga dapat hadir, namun mengakui ia tidak mudah.
Sementara itu, rakan sepasukan, Deroy Duarte berkata seluruh skuad gembira dengan perkembangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai detik yang menyuntik motivasi Vozinha.
Namun Vozinha menegaskan tumpuan utama pasukan adalah kepada bola sepak ketika mereka bersiap menghadapi Uruguay, sambil berkata mereka berada di kejohanan ini atas dasar sukan dan negara.



