Penoreh getah terima BMT 2020 pertama

Kuala Lumpur – Seramai 237,207 penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) seluruh negara menerima bayaran pertama Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2020 bermula semalam.

Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, bantuan itu bernilai RM600 dan RM300 akan mula dimasukkan ke dalam akaun 202,717 pekebun kecil, manakala baki RM300 akan dikreditkan ke dalam akaun Januari depan.

Beliau berkata, baki permohonan iaitu bagi 34,490 orang akan disalurkan kepada minggu depan untuk peringkat pertama (RM300).

“BMT 2020 ini adalah salah satu keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan beban pekebun kecil yang berdepan masalah pendapatan akibat musim tengkujuh.

“Bagi pekebun kecil yang masih belum atau dalam proses permohonan, Risda masih membuka peluang untuk permohonan sehingga 31 Disember 2020,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen semalam.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, BMT 2020 itu layak diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan tanah tidak melebihi 2.5 hektar.

Menurut beliau, penerima terbanyak adalah dari Sarawak sebanyak 58,048 orang, diikuti Kelantan (49,328 orang) dan Kedah (45,297 orang).

Justeru, beliau berharap pegawai-pegawai Risda di peringkat daerah supaya memantau semua pekebun kecil dan penoreh getah yang layak untuk mendapatkan bantuan itu supaya tiada keciciran berlaku.

ZA137 Malay News
National Desk