Penswastaan Liga M tak gagal, tapi kelab perlu lebih bertanggungjawab

Penswastaan Liga M tak gagal, tapi kelab perlu lebih bertanggungjawab

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menyifatkan penswastaan Liga Malaysia (Liga M) bukan satu kegagalan, sebaliknya pengurusan kelab perlu lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu pasukan.

Bagi beliau, masalah kewangan yang sering menghimpit pasukan ketika ini bukanlah disebabkan oleh penswastaan liga yang bermula sejak 2021.

Sebaliknya, katanya, apa yang berlaku adalah sifat ambil mudah sesetengah kelab yang tidak proaktif dalam menguruskan pasukan.

Justeru, Windsor berharap, setiap kelab Liga M seharusnya lebih profesional dan langkah pengasingan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) adalah tepat pada era bola sepak moden ketika ini.

“Saya tidak melihat penswastaan liga ini adalah satu kegagalan, sebaliknya ini adalah satu proses untuk lebih bergerak ke hadapan.

“Inilah masanya untuk kelab belajar memenuhi kriteria dan ketetapan yang telah AFC tetapkan.

“Sampai bila nak berada di takuk lama, kelab perlu lebih proaktif dan belajar tentang selok belok pengurusan kelab yang profesional.

“Jangan salahkan penswastaan itu sebab tanggungjawab yang sebenar adalah di bawah pengurusan kelab itu sendiri yang perlu lebih bijak untuk menguruskan daripada pelbagai aspek.

“Peraturan dan ketetapan oleh AFC sebenarnya sama sahaja dengan liga lain, jadi saya percaya kalau ada kelab di Liga Malaysia ini yang boleh memenuhi peraturan, kenapa ada pasukan tidak boleh,” katanya.

Menerusi laporan akhbar ini sebelum ini, mantan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menolak tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dasar penswastaan Liga M punca beberapa kelab terpaksa gulung tikar.

Firdaus yang diberi mandat sebagai individu pertama untuk menggerakkan dasar penswastaan pada 2018 dengan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional FAM mengakui langkah pengasingan antara FA kepada FC adalah tepat.

Namun, katanya, selepas beliau berjaya melaksanakan penswastaan berkenaan pada 2021, tanggungjawab berkenaan diserahkan kepada pihak lain di bawah kawalan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan penganjur saingan liga elit tempatan.

Jelasnya, masalah terbesar yang berlaku selepas itu adalah aspek ‘monitoring’ yang agak lemah hingga menyebabkan kelab berkenaan bergerak sendiri tanpa hala tuju dan panduan tepat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top