Penukaran MyKad baharu tidak jejas bantuan kerajaan

Penukaran MyKad baharu tidak jejas bantuan kerajaan
Penukaran MyKad baharu tidak jejas bantuan kerajaan

Proses penukaran MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman lanjut berhubung tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan proses penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu yang akan dilaksanakan bermula Jun depan tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat.

JPN memaklumkan, bantuan menggunakan MyKad seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi Madani RON95 (BUDI95) akan terus dapat ditebus seperti biasa, selain memastikan nama penerima sedia ada dalam sistem tidak tercicir sepanjang proses peralihan berkenaan.

Menurutnya, penjelasan itu dibuat bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan berlaku gangguan teknikal atau keciciran penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu.

“Pihak JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh.

“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat sekali gus memastikan bantuan akan diterima oleh penerima yang layak,” menurut kenyataan pada Rabu.

JPN berkata, ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu akan memperkukuh proses pengesahan identiti penerima, selain terus menyokong ekosistem sedia ada bagi tujuan penyaluran subsidi dan bantuan kerajaan.

Menurut jabatan itu, fokus utama pelaksanaan MyKad Struktur Baharu adalah bagi meningkatkan keselamatan identiti rakyat tanpa menyukarkan urusan penerimaan bantuan kerajaan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan kerajaan akan dihentikan sekiranya kad pengenalan tidak ditukar dengan segera.

Jelas JPN, proses penukaran MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman lanjut berhubung tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN atau media sosial rasmi jabatan itu.

Scroll to Top