Penunggang motosikal cedera dihempap gerai burger dikenal pasti sebagai anggota bomba

Penunggang motosikal cedera dihempap gerai burger dikenal pasti sebagai anggota bomba

Ipoh: Anggota bomba cedera selepas dihempap sebuah gerai burger yang terjatuh ketika ditunda sebuah lori dalam kejadian di Jalan Medan Saujana 3, Kamunting di sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, pihaknya mengesan kejadian itu menerusi rakaman video papan pemuka yang tular dalam Facebook, semalam.

Beliau berkata, lelaki berusia 28 tahun itu yang menunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian dahi, leher serta tangan kiri dan kanan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku pada 20 Januari kira-kira 3.30 petang apabila lori jenis Rigid buatan Hino yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 30 tahun sedang menunda gerai burger dalam perjalanan dari Taiping menghala ke Kamunting.

“Bagaimanapun, lori itu hilang kawalan menyebabkan gerai burger terbabit terjatuh ke atas jalan raya dan terkena pada mangsa serta sebuah lagi kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita berumur 34 tahun,” katanya.

Abdul Malek berkata, akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal mengalami cedera pada bahagian dahi, leher dan luka pada tangan serta kaki dan mendapat rawatan di Hospital Taiping.

Kes disiasat di bawah Kesalahan Peraturan 92 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 92 LN 170/59).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top