Penutupan jalan berperingkat di Ipoh sempena Thaipusam

Penutupan jalan berperingkat di Ipoh sempena Thaipusam

am@hmetro.com.my

Ipoh: Polis menjangkakan kehadiran 80,000 penganut Hindu yang akan merayakan Thaipusam di dua kuil di bandaraya ini bermula esok sehingga 7 Februari, sekali gus menyaksikan terdapat lencongan atau penutupan jalan secara berperingkat dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisoner Yahaya Hassan, berkata sambutan perayaan itu kali ini turut membabitkan acara utama iaitu perarakan pedati dan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari di Buntong ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini.

Menurutnya, perarakan pedati (chariot) dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar akan bermula jam 6 petang esok dan dijangka selesai pada 12.30 tengah malam, manakala perarakan balik pedati itu akan bermula pada 4.30 petang Isnin ini dan dijangka selesai jam 10.30 pagi keesokannya.

“Sehubungan itu, lencongan atau penutupan jalan secara berperingkat akan dibuat semasa perarakan pedati iaitu sewaktu ia pergi serta pulang yang akan melalui laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain itu perarakan kavadi dari kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar akan bermula Ahad ini dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dengan ia akan turut membabitkan lencongan serta penutupan jalan secara berperingkat.

“Rancang perjalanan anda dan sentiasalah mematuhi arahan semasa daripada petugas polis trafik di jalan-jalan yang terbabit dalam lencongan dan penutupan berperingkat dalam tempoh itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd